PUTRAJAYA: Kadar baharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV) bermula 1 Januari 2026 akan ditentukan mengikut kuasa motor elektrik, sekaligus menyaksikan pengurangan sehingga 85 peratus berbanding kadar semasa.
Bagaimanapun, ketika ini, semua kenderaan EV dikecualikan daripada membayar LKM yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kadar baharu itu terpakai kepada kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEVs) dalam kategori kenderaan elektrik sepenuhnya (PBEV) dan kenderaan elektik sel bahan api (FCEV) sahaja.
LIMA TAHUN
“Semua kadar yang ditetapkan ini akan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun lalu, namun secara keseluruhannya trend pertumbuhan EV di Malaysia masih di peringkat awal.
“Pada tahun 2023, sebanyak 15,671 kenderaan elektrik didaftarkan atau hanya satu peratus berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan iaitu 1,533,332 kenderaan.
“Setakat 30 April lalu, jumlah kenderaan elektrik yang didaftarkan adalah sebanyak 7,003 atau 1.4 peratus berbanding jumlah kenderaan sebanyak 499,945 buah,” katanya.
Beliau berkata, penetapan kadar baharu itu diharap melegakan pengguna EV yang bimbang kadar LKM EV akan lebih mahal selepas tamat tempoh pengecualian.
Secara umumnya, kadar minimum LKM EV ditetapkan pada kadar RM20 bagi kenderaan yang mempunyai kuasa motor elektrik bermula satu watt hingga 50,000 watt. Kadar LKM bagi kenderaan dengan satu juta watt adalah RM14,415.
Sebagai contoh, Hyundai Kona e-lite hanya perlu membayar LKM sebanyak RM70 berbanding RM243 kadar semasa manakala, pengguna Porsche Taycan Turbo GT pula perlu membayar sebanyak RM6,715 berbanding RM17,494 pada kadar sedia ada.
ICE
Dalam pada itu, Anthony berkata, kerajaan tidak akan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) buat masa ini.
Beliau berkata, kadar cukai jalan yang ditetapkan bagi kenderaan itu ketika ini masih rendah dan berpatutan.
“Tidak (berhasrat turunkan) sebab kita sekarang menggalakkan penggunaan kenderaan EV di negara ini,” katanya.
Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip sekitar RM4 bilion setahun bagi cukai jalan kenderaan jenis itu.
Dalam pada itu, Loke berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan bingkai plat khas bagi kenderaan EV bagi membezakan dengan kenderaan lain.
Menurutnya, plat khas itu akan dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dan dipasang terus pada kenderaan berkenaan. – UTUSAN










