Buruh maut kereta langgar pokok

Buruh maut kereta langgar pokok

KEADAAN kereta yang dipandu mangsa selepas terlibat dalam kalangan di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Aring dekat Felda Aring 6, Gua Musang, Kelantan, semalam-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang buruh maut selepas kereta yang dipandunya berpusing sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Aring dekat Felda Aring 6 di sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, mangsa, Muhammad Izzat Dunya, 20, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Felda Aring 1 menghala ke Aring 8.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan  berpusing sebelum terbabas ke bahu kanan jalan lalu melanggar sebatang pokok.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa maut di lokasi dan kereta yang dinaikinya remuk di bahagian hadapan dan sisi sebelah kiri.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk proses pengebumian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan seorang mangsa kemalangan tersepit dalam kenderaan pada pukul 5.55 petang dan seramai lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Pihak kami tiba di lokasi pada pukul 7.03 malam dan memulakan operasi mengeluarkan seorang lelaki tersepit dalam kenderaan.

“Pada pukul 7.27 malam mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN