TUMPAT: Bunyi letupan berjaya menyelamatkan seorang warga emas dan cucunya di Kampung Belukar, Wakaf Bharu di sini daripada rentung dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.10 pagi itu mangsa Ramlah Yusof, 71 sedang nyenyak tidur bersama Anggun Dhia Raisha Saiful Azwa, 7, sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari ruang tamu.
“Awalnya saya ingatkan rumah sudah dimasuki pencuri selepas bekalan elektrik di rumah terpadam secara tiba-tiba selain bunyi letupan seakan-akan tapak kaki orang sedang berjalan.
“Bimbang dengan situasi itu saya terus menghubungi cucunya, Raja Fazrin Hafiz Raja Faris, 25, untuk meminta bantuan,” kata Ramlah ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, dia kemudian dikejutkan apabila cucu yang datang untuk memberikan bantuan memaklumkan api sedang marak membakar rumah.
Katanya, dalam suasana gelap Raja Fazrin Hafiz bertindak memecahkan pintu sebelum menariknya keluar bersama Anggun.
Ramlah memberitahu, walaupun tinggal sehelai sepinggang dan kerugian lebih RM100,000 namun dia bersyukur kerana terselamat daripada rentung.
Sementara itu, Komander Operasi , Pegawai Bomba Kanan II Hasbullah Che Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.18 pagi dan terus ke lokasi.
Katanya, sejurus tiba rumah tersebut sudah 70 peratus terbakar dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN









