PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran kononnya fakta siasatan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berlegar di media sosial beberapa hari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini dua laporan polis sudah dibuat iaitu daripada adik kepada bapa Zayn Rayyan yang tidak berpuas hati dengan kandungan di Telegram Edisi Siasat (ES) dan satu lagi oleh pegawai penyiasat kes itu sendiri.
Menurut beliau, isu tersebut sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
“Orang ramai diminta tidak berkongsi kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam
Beliau berkata, perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.
“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan terbabit,” katanya.
Sementara itu, peguam keluarga Zayn Rayyan, Fahmi Abd. Moin mengesahkan pihak keluarga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Baru Subang pada pukul 6.40 petang kelmarin.
Katanya, buat masa ini pihak keluarga menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Polis juga sudah memaklumkan akan bekerjasama dengan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) untuk menurunkan kandungan terbabit,” katanya.
“Keluarga (Zayn Rayyan) menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan namun jika kandungan itu masih tersebar di media sosial pihaknya akan mengambil tindakan seterusnya mengikut peruntukan undang-undang.
Khamis lalu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










