PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bersiap sedia untuk merebut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri jika ada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera di peringkat lokaliti sudah digerakkan, malah data-data terbaharu di DUN itu juga sedang dikumpulkan.
Beliau berkata, walaupun BN adalah parti bukan pilihan di DUN itu, namun parti tetap bersedia dan akan meletakkan calon terbaik sekiranya PRK diadakan di kawasan itu nanti.
RAMPAS
Presiden UMNO berkata, BN hanya mengalami kekalahan 810 undi pada pilihan raya lalu dan yakin boleh merampas kerusi itu dengan kerjasama semua pihak.
Katanya, walaupun BN menghormati keputusan dibuat oleh Speaker DUN Kelantan, namun BN juga harus menghormati bahawa perkara itu akan dibawa ke mahkamah.
“Walaupun ada pelbagai pandangan dan pendapat dari penganalisis politik dan pengamal perundangan, ia harus diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar pertemuan khas peserta dan penganjur Mid Season Cup MLBB 2024 – Moonton Games Malaysia di sini semalam.
Ditanya sama ada BN akan meletakkan bekas penyandang DUN itu sebagai calon, Ahmad Zahid berkata, perkara itu boleh dirundingkan memandangkan beliau (Mohd. Azizi Abu Naim) sudah memihak kepada Kerajaan Perpaduan.
“Itu boleh dirundingkan dan saya fikir pendirian kami adalah di mana-mana tempat yang ada PRK, jika penyandang itu datang dari parti komponen dalam Kerajaan Madani ini, kita akan berikan keutamaan.
“Apa yang berlaku di banyak tempat, kami berterima kasih kerana calon-calon BN dibantu jentera Kerajaan Perpaduan dan inilah yang sedang kami lakukan termasuk di Sungai Bakap dan saya percaya sama juga di Nenggiri,” katanya.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula pada Rabu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, calon Pas, Mohd Azizi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang dengan undian 6,431 mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,682 undi.
Mengenai PRK Sungai Bakap, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya lebih 5,000 ahli UMNO di DUN itu akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH).
“Terdapat lapan pusat daerah mengundi (PDM) di DUN itu dan UMNO mempunyai seramai 5,105 ahli. Jadi tumpuannya ialah kepada pengundi UMNO. Namun parti komponen seperti MCA, MIC dan Friends of BN juga telah mendekati pengundi di Sungai Bakap,’’ katanya. – UTUSAN










