BATU PAHAT: “Betul, itu adalah motosikal yang digunakan oleh Hafiz Fauzan ketika keluar menonton perlawanan bola sepak pada malam 26 Mei lalu.”
Demikian kata ayahnya, Abdul Halib Sugiman, 44, selepas hadir ke Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk membuat pengecaman motosikal serta dokumen yang ditemukan berhampiran satu rangka manusia itu, hari ini.
Menurutnya, pihak polis juga sudah mengambil Asid deoksiribonukleik (DNA) daripada keluarganya bagi tujuan padanan dengan rangka manusia yang ditemukan dan dijangka akan dapat diketahui kira-kira seminggu lagi.
Katanya, tiada petanda yang ditunjukkan oleh anaknya itu ketika mereka sama-sama keluar makan malam, malah sama-sama menonton video lagu nasyid ketika dalam kereta.
“Dia sangat ceria pada malam itu kerana pasukan bola sepak sekolahnya menjadi johan dalam pertandingan peringkat daerah Batu Pahat,” katanya ketika dihubungi, di sini. – UTUSAN











