BUTTERWORTH: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan amang seksual dan seks luar tabii terhadap anak perempuan kandungnya, bulan lalu.
Tertuduh berusia 38 tahun, memohon dibicarakan sebaik sahaja dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa didapati telah melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Emas di Nibong Tebal antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang Mei lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16 iaitu penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh disebatan tidak kurang dua sebatan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perhubungan seks bertentangan tabii terhadap mangsa pada tarikh, waktu dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal memohon tiada jaminan diberikan kerana dikhuatiri kejadian sama akan berulang kerana mangsa tinggal serumah bersama tertuduh.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










