NAYPYIDAW: Bank Pusat Myanmar menafikan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kerajaan tentera negara itu masih boleh mengakses wang dan senjata untuk perangnya menentang pasukan antirampasan kuasa.
Dalam satu kenyataan diterbitkan akhbar semalam, bank pusat negara itu menyatakan bantahan keras terhadap laporan Pelapor Khas PBB dan menegaskan institusi kewangan di bawah pengawasannya mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Laporan PBB ini secara serius menjejaskan kepentingan rakyat Myanmar dan hubungan antara Myanmar dengan negara lain,” katanya.
Pelapor Hak Asasi Manusia Myanmar, Tom Andrews pada 26 Jun melaporkan, walaupun usaha antarabangsa mengasingkan junta dan menjejaskan keupayaannya untuk membeli peralatan ketenteraan, ia masih mengimport senjata, peralatan pembuatan dan bahan lain bernilai AS$253 juta (RM1.1 bilion) dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac.
Laporan itu berkata, Myanmar mendapat bantuan daripada bank-bank antarabangsa, termasuk negara jiran, Thailand untuk pembeliannya.
Berdepan cabaran terbesar sejak rampasan kuasa 2021 terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, junta Myanmar terperangkap dalam konflik intensiti rendah dan berusaha untuk menstabilkan ekonomi yang semakin merosot.
Negara Barat mengenakan sekatan kewangan ke atas tentera Myanmar, bank-bank dan perniagaan yang berkaitan negara itu.
Menurut bank pusat, bank-bank tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam urus niaga dengan Myanmar mengikut langkah-langkah pematuhan yang komprehensif untuk semua hubungan perniagaan.
“Transaksi kewangan ini hanya untuk pengimportan barangan keperluan asas rakyat Myanmar, seperti bekalan perubatan, bekalan pertanian dan ternakan, baja, minyak makan serta bahan bakar,” kata kenyataan itu.
Laporan PBB berkata, eksport dari Singapura menjunam kepada AS$10 juta (RM47 juta) daripada AS$110 juta (RM518 juta) pada 2022, tetapi syarikat Thailand sebahagiannya mengisi jurang itu, memindahkan senjata dan bahan pembuatan bernilai AS$120 juta (RM566 juta) pada 2023, dua kali ganda daripada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Thailand menjelaskan bahawa institusi perbankan dan kewangan negara itu mengikut prosedur seperti pusat kewangan utama lain, sambil memaklumkan kerajaan akan meneliti laporan PBB.- REUTERS










