Ayah tak tidur semalaman dapat tahu Hamizan sudah tiada - Abang - Utusan Malaysia

Ayah tak tidur semalaman dapat tahu Hamizan sudah tiada – Abang

JENAZAH Muhammad Hamizan (gambar kecil) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 4, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bapa kepada jurutera tapak yang ditemukan meninggal dunia dalam keretanya selepas hilang sejak 19 Mei lalu tidak dapat melelapkan mata semalaman selepas menerima khabar sedih itu.

Muhammad Haziq Ramli, 34, memberitahu, penemuan mayat adiknya Allahyarham Muhammad Hamizan, 33 ternyata memberi kesan mendalam kepada orang tuanya lebih-lebih lagi bapanya menghidapi penyakit jantung. 

“Emak dan ayah pasrah, reda tapi dalam masa sama masih terkejut. Ayah ada sakit jantung, tak tidur semalaman selepas dapat berita itu sebab dijumpai terlalu lewat sangat. 

“Saya rasa terkilan juga, sepatutnya kes hilang ini ada pihak yang ambil serius kalau dapat jumpa lebih awal, walaupun sudah tiada keadaan mayat itu mungkin lebih elok, sebaliknya ini sudah hampir tiga minggu,” katanya ditemui hari ini.

Menurutnya, jenazah adiknya itu selamat dikebumikan malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 4, d sini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, adiknya tidak mempunyai masalah dengan keluarga, bahkan mudah dihubungi orang tuanya, malah tidak mempunyai masalah kewangan.

“Saya difahamkan arwah memang ada kenalan di kawasan sekitar Johor Bahru tetapi tidak pasti siapa yang dia jumpa pada Sabtu malam Ahad itu. Setakat yang saya tahu, dia memang tiada penyakit kronik, tambahan pula kerjayanya sebagai jurutera tapak memerlukan seseorang yang sihat untuk sentiasa berada di tapak.

“Kematian adik pada masa ini diklasifikasikan sebagai tidak dikenal pasti,  mungkin sebab keadaan mayat yang sudah mula mereput. Jadi, mungkin ambil masa untuk jabatan forensik buat pemeriksaan lanjut, mungkin perlukan ujian makmal dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan misteri kehilangan Muhammad Hamizan yang merupakan jurutera tapak di Projek Perumahan Transit Penjawat Awam Pengerang terungkai selepas lelaki itu ditemukan meninggal dunia dalam keretanya di Taman Sentosa, Johor Bahru kira-kira pukul 11.30 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN