Anggota tentera, isteri maut kemalangan tidak sabar tunggu kelahiran anak kembar

Anggota tentera, isteri maut kemalangan tidak sabar tunggu kelahiran anak kembar

HAKIAH Nor menunjukkan gambar pasangan mangsa yang maut di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing, Gua Musang, Kelantan hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Anggota tentera dan isterinya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini tidak sabar menanti kelahiran sepasang anak kembar mereka.

Kakak mangsa, Suhaily Khairudin, 49, berkata, adiknya, Suhana, 37, yang mengandung enam bulan maut bersama suaminya, Ridwan Effendy Yusof, 43, teruja ingin menimang anak selepas melahirkan anak kedua yang kini berusia sembilan tahun.

Katanya, dia hampir rebah selepas menerima khabar duka daripada adik bongsunya mengenai Suhana dan keluarganya kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Sebelum kejadian, saya sempat berbual menerusi telefon dengan arwah yang menceritakan keadaannya yang keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas membuat pembedahan kecil pada kandungan.

“Saya reda dengan kejadian yang berlaku, namun tetap terkejut dengan nahas yang menimpa adik yang merupakan anak keempat daripada lima beradik,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.

Suhaily memberitahu, arwah bersama keluarganya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka ke Tunjong, Kota Bharu selepas menjalani pembedahan kecil di HRPB.

Katanya, arwah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur pada Selasa lalu sebelum dipindahkan ke HRPB.

“Arwah Suhana pernah memberitahu ibu kami bahawa dia bimbang jika dia meninggal dunia semasa bersalin. Ibu terus menenangkannya dengan mengatakan bahawa meninggal dunia semasa bersalin adalah mati syahid,” ujarnya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Hakiah Nor, 61, berkata, dia terkejut dan sangat sedih dengan berita kematian pasangan berkenaan.

Katanya, keluarga Suhana menumpang tidur di rumahnya semasa di Kuala Lumpur sebelum ke HRPB.

“Ridwan Effendy kerap meminta maaf dan mencium tangan saya. Kebiasaannya, dia sangat pendiam. Suhana dan suaminya tidur di dalam kereta malam tadi kerana hotel di sekitar Cameron Highlands, Pahang penuh.

“Ridwan Effendy mungkin penat kerana berulang memandu menghantar isterinya untuk menerima rawatan,” ujarnya.

Utusan Online hari ini melaporkan, seorang anggota tentera dan isterinya yang hamil enam bulan maut apabila kereta jenis Kia Rio yang dinaiki merempuh tembok longkang di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing di sini hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN