Anak sulung panggil papa, mama di pengebumian pasangan suami isteri maut

Anak sulung panggil papa, mama di pengebumian pasangan suami isteri maut

QAISARA Damia Ridwan (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarga selepas tidak dapat menanggung kesedihan semasa pengebumian jenazah kedua ibu bapanya maut kemalangan di Tanah Perkuburan Islam Tunjong, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suasana hiba dan sedih menyelubungi pengebumian pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya di di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Lojing semalam apabila anak sulung menangis sambil memanggil kedua-dua orang tuanya itu.

Tindakan Qaisara Damia Ridwan, 15, itu mengundang sebak seluruh ahli keluarga dan sanak saudara serta hadirin yang hadir ke majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tunjong di sini hari ini.

Bagaimanapun, kesedihan yang dialami remaja itu berjaya ditenangkan oleh ahli keluarga.

Terdahulu, jenazah Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya, Suhana Khairudin, 37,dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tunjong pada pukul 9 pagi.

Jenazah Ridwan yang juga anggota tentera dan isteri dibawa dari Unit Forensik Hospital Gua Musang ke rumah mereka di Kampung Tunjong sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 8.50 pagi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi semalam, Ridwan dan isterinya yang mengandung anak kembar maut selepas kereta jenis Kia Rio yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tembok longkang.

Kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian manakala dua anak mereka yang berada di tempat duduk belakang, Qaisara Damia, 15, dan Akid Darwisy, 9, luka pada bahagian kaki dan mulut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN