MEKAH: Seramai 550 jemaah meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji tahun ini, akibat cuaca panas yang menyebabkan kenaikan suhu ekstrem.
Diplomat Arab Saudi berkata, kira-kira 323 daripada jumlah itu adalah rakyat Mesir dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba.
“Semua yang meninggal dunia akibat suhu panas kecuali seorang sahaja yang mengalami kecederaan akibat rempuhan,” katanya.
Menurut diplomat itu, sekurang-kurangnya 60 warga Jordan meninggal dunia, iaitu meningkat daripada jumlah rasmi seramai 41 orang yang dikeluarkan oleh Amman, sebelum ini.
AFP melaporkan, kematian terkini itu menjadikan jumlah dilaporkan setakat ini oleh beberapa negara adalah 577 orang.
Negara lain yang melaporkan kes kematian semasa haji tahun ini adalah termasuk Indonesia, Iran dan Senegal.
Kebanyakan negara lain tidak menyatakan jumlah kematian berkaitan haba.
Pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan pihaknya merawat lebih 2,000 jemaah haji yang mengalami tekanan haba, tetapi tidak mengemas kini angka itu sejak Ahad lalu, dan tiada maklumat mengenai kematian.
Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi berkata, suhu meningkat sehingga 51.8 darjah Celcius di Masjidil Haram, Mekah, pada Isnin.
Pegawai Arab Saudi menasihatkan jemaah haji supaya menggunakan payung, minum banyak air dan menghindarkan diri daripada terdedah matahari pada waktu panas terik.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Abdul Rahman Al-Jalajel berkata, pelan kesihatan untuk haji berjaya dilaksanakan, mencegah wabak penyakit besar dan ancaman kesihatan awam lain.
Lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA), sebuah hospital maya menyediakan perundingan kepada lebih 5,800 jemaah haji, terutamanya untuk penyakit berkaitan haba, yang membolehkan campur tangan segera dan potensi peningkatan kes.










