KUALA LUMPUR: Kira-kira 20,000 pekerja tempatan menjadi perintis pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang akan mula dilaksanakan oleh kerajaan pada Oktober ini.
Ini selepas projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos bagi menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan diperlukan selesai.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, DGP akan dilaksanakan secara menyeluruh seperti diputuskan oleh jemaah menteri bermula Oktober ini selepas penilaian impak projek rintis tersebut dibuat pada September.
Menurutnya, permohonan untuk majikan menyertai projek rintis DGP juga kian meningkat iaitu sehingga semalam (25 Jun) terdapat sebanyak 732 majikan membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.
Malah, jelas beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 237 majikan mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis DGP.
Katanya, sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.
“Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula Oktober 2024 apabila mereka mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Pemberian insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Abdul Rahman menjawab soalan Datuk Seri Mohmed Puzi Ali (Pekan), Mohd. Syahir Che Sulaiman (Bachok), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Azli Yusof (Shah Alam), Zahir Hassan (Wangsa Maju) yang memintanya menjelaskan mengenai garis masa pelaksanaan DGP.
Sebelum ini kerajaan menetapkan matlamat bagi menambah baik struktur gaji dan upah pekerja sektor swasta melalui pelaksanaan DGP.
Dengan pengenalan dasar baharu tersebut, ia akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada, iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS).
Kementerian Sumber Manusia dilaporkan sehingga Jun ini menganjurkan sebanyak 16 libat urus melibatkan wakil majikan dan pekerja dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi.
Berdasarkan sesi libat urus tersebut, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan pihaknya mendapati majoriti majikan dan pekerja memberi maklum balas yang positif terhadap pelaksanaan DGP.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, terdapat beberapa syarat yang dikenakan Kementerian Sumber Manusia dalam proses pemilihan 1,000 majikan untuk menyertai projek rintis DGP.
Jelasnya, antara syaratnya adalah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Bagi bukan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional, tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia serta menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah satu kontrak perkhidmatan.
“(Selain itu) menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji yang ditentukan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP. Bagi projek rintis, had gaji yang ditentukan adalah RM1,500 hingga RM4,999 sebulan.
“Penyertaan dibuka kepada semua sektor kecuali sektor pentadbiran awam dan pertahanan, aktiviti sosial wajib serta aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah,” katanya. – UTUSAN









