Warga emas maut dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Warga emas maut dalam kebakaran

PIHAK polis dan bomba membuat pemeriksaan di sebuah rumah ekoran penemuan seorang warga emas lelaki yang melecur di badan dalam kejadian kebakaran di Kampung Ujung Pasir di Seremban hari ini.-GAMBAR/ IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat melecur di badan dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Ujung Pasir di sini hari ini dipercayai berpunca daripada asap puntung rokok.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada pukul 11.40 pagi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah menerima panggilan kecemasan menyatakan terdapat kejadian kebakaran di Projek Perumahan Rakyat, Kampung Ujung Pasir di sini.

“Ekoran maklumat tersebut, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi memaklumkan api telah tiada dan padam 

“Pemeriksaan awal pihak polis mendapati, terdapat seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di sebelah katil bilik tidurnya dan pemeriksaan lanjut pihak hospital mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kebakaran pada tilam dan kesan lecur pada badan mangsa berpunca daripada puntung rokok.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh daripada pihak hospital.

“Pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak meninggalkan ahli keluarga terutama warga emas yang telah uzur bersendirian di rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 11.42 pagi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Dalam kebakaran ini, mangsa seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun telah rentung dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Berdasarkan siasatan, kebakaran melibatkan tilam di dalam bilik sebuah rumah jenis kekal (kelas A) berkeluasan keseluruhan anggaran 18×20 kaki persegi,” katanya

“Kes tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×