SEREMBAN: Seorang warga emas dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah di Taman Gembira, Semenyih, Selangor, sejak pagi semalam.
Bahasa Othman, 73, yang merupakan seorang pesara disedari hilang oleh anaknya, Yusri Amir, 41, kira-kira pukul 8.30 pagi.
Yusri berkata, kebiasaannya dia akan melawat bapanya itu pada setiap hari memandangkan rumahnya terletak berdekatan.
“Memang kami adik-beradik akan bergilir menjenguk ayah di rumah bagi menghantar makanan dan sebagainya.
“Saya tinggal di Beranang dan rumah ayah tidak jauh dari kediaman saya dengan jarak kira-kira enam kilometer, ayah tinggal seorang diri sejak ibu meninggal dunia.
“Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya mendapati ayah tiada di rumah sebaik tiba dan kemudian telah dimaklumkan oleh jiran, dia (ayah) telah keluar dari rumah sekitar pukul 7 pagi dengan menaiki kereta Perodua Axia bewarna kelabu dengan nombor pendaftaran WC5079X,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Yusri menambah, dia dan ahli keluarga yang lain kini bimbang selepas gagal mengesannya bapanya itu sejak semalam, apatah lagi bapanya itu mempunyai masalah kesihatan dengan menghidap penyakit lupa ingatan (dimentia) selain kencing manis dan darah tinggi.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan ayah adalah pada Jumaat lalu,” katanya.
Katanya, dia sekeluarga ada menerima maklumat dari media sosial yang mengatakan bapanya dilihat di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Dr. Ismail, Seremban pada pukul 8 malam tadi.
“Rakan ayah juga turut memaklumkan mereka ada menerima maklumat yang ayah akan balik ke kampung di Kampung Keru, Batu Kikir, Jempol, namun kami tidak menemui pun keberadaannya.
“Berikutan itu, usaha mencari ayah terus giat dijalankan kami adik-beradik mengikut jalan lama menghala ke Kuala Pilah dari Semenyih. Jika ada sesiapa yang terjumpa atau telihat nombor plat kereta ayah, bolehlah menghubungi saya di nombor 012-275 7876,” katanya.-UTUSAN.










