RANTAU PANJANG: Seorang wanita sebak selepas terkenang hadiah pemberian pelajarnya sempena sambutan Hari Guru musnah selepas rumahnya di Kampung Tasik Gondang di sini terbakar semalam.
Mana tidaknya, Harni Hasniza Abd. Rahim, 45, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kuar di sini tidak sempat untuk membuka semua hadiah yang diterima pada sambutan Hari Guru.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu Harni Hasniza turut tinggal sehelai sepinggang selain kereta dan lima buah motosikal hangus dijilat api.
Harni Hasniza berkata, semasa kejadian dia bersama suami dan dua anaknya dalam perjalanan ke Rantau Panjang sebelum dikejutkan dengan panggilan berkait kebakaran tersebut.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan dari anak sulung yang ketika itu berada di rumah dia dan suami terus berpatah balik untuk melihat keadaan.
“Mujurlah ketika itu kami berada tidak jauh dari rumah. Sejurus tiba di rumah, saya terus bergegas naik dan hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja disebabkan api sudah marak.
“Saya lega semasa kejadian kedua-dua ibu bapa tiada dirumah kecuali anak sulung sahaja. Alhamdulillah, tiada kemalangan berlaku semasa kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harni Hasniza memberitahu, ketika ini dia dan keluarga serta kedua ibunya menumpang di rumah saudara mara buat sementara waktu.
Katanya, anggaran kerugian akibat kebakaran itu berjumlah RM300,000.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul petang.
Katanya, setiba di lokasi rumah tersebut sudah hangus 90 peratus.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN










