Wanita keturunan India kekal seorang Islam, rayuan akhir ditolak Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Wanita keturunan India kekal seorang Islam, rayuan akhir ditolak Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan seorang wanita berketurunan India masih seorang Islam selepas menolak rayuan akhir untuk membatalkan penukaran agama oleh ibunya yang merupakan seorang mualaf, ketika dia berusia empat tahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan demikian selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepadanya.

Beliau bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais menolak rayuan wanita berusia 37 tahun itu manakala Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan mencapai keputusan menentang.

Wanita itu merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 13 Januari 2023 yang mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan dia bukan penganut agama Islam.

Ketika itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam dengan keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status agama wanita berkenaan.

Pada prosiding hari ini, Hakim Abang Iskandar ketika membacakan keputusan majoriti berkata, wanita itu dibesarkan sebagai seorang Islam sehingga dewasa meskipun agamanya ditukar ketika masih kanak-kanak.

Beliau berpendapat, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian individu yang mendakwa tidak lagi beragama Islam.

Sebaliknya ujar beliau, mahkamah sivil hanya boleh memutuskan isu berhubung dakwaan mana-mana pihak yang berpendirian mereka tidak pernah beragama Islam sejak awal.

“Kes wanita itu berada di bawah kategori `tidak lagi beragama Islam’, bukannya `tidak pernah beragama Islam’,” kata Hakim Abang Iskandar.

Sementara itu, Hakim Mary Lim ketika membacakan keputusan menentang berkata, wanita itu tidak dilahirkan sebagai Islam sebaliknya ditukar agama oleh ibu mualaf ketika masih kanak-kanak.

“Seseorang itu hanya boleh disifatkan seorang Islam jika mengucap dua kalimah syahadah dan memahami apa yang dilafazkannya,” ujar beliau.

Pada 21 Disember 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama wanita itu kepada Islam oleh ibunya, seorang mualaf, ketika dia berusia empat tahun.

Wanita berbapakan penganut Hindu manakala ibu beragama Buddha yang kemudiannya memeluk Islam, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Mei 2021 memohon pengisytiharan bahawa dia bukan beragama Islam dan mahu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan perkataan `Islam’ daripada kad pengenalannya.

Wanita itu mendakwa ibunya menukar agamanya pada 1991 di Jabatan Agama Islam Selangor. Pada masa itu ibu bapanya dalam proses perceraian dan selepas bercerai, ibunya berkahwin dengan lelaki Islam pada 1993 manakala bapa kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan pada 1996.

Dia mendakwa walaupun beragama Islam, dia terus menganut agama Hindu selepas ibu serta bapa tirinya membenarkannya mengamalkan ajaran agama yang dianuti sejak dilahirkan.

Pada 2013, wanita itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk diisytiharkan keluar Islam tetapi permohonannya itu ditolak pada 2017, dan dia diperintahkan supaya menghadiri sesi kaunseling. Mahkamah Rayuan Syariah turut mengekalkan keputusan itu.

Dalam prosiding hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili MAIS, Penasihat Undang-undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib mewakili kerajaan negeri manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili perayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN