KOTA BHARU: Wajah baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini yang beroperasi secara rasmi hari ini membuatkan pengguna pengangkutan udara itu terpukau dengan kemudahan yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengguna begitu teruja sehingga ada dalam kalangan mereka merakam video dan mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenangan.
Seorang pengguna Jeniffer Nur Jannah Abdullah, 45, meluahkan rasa bangga dan teruja dengan wajah baharu LTSIP.
katanya, sebagai pengguna tegar pengangkutan udara itu kemudahan baharu ini mampu memberikan lebih keselasaan selain menjadikan urusan lebih mudah serta pantas.
“Saya gembira dengan perubahan ini dan berharap supaya kemudahan itu mampu melonjakan lagi pertumbuhan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.
“Saya yakin apabila projek ini siap sepenuhnya, lebih banyak penerbangan domestik termasuk antarabangsa akan singgah ke Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan MAHB Kamaruzzaman Razali berkata, secara purata setiap hari LTSIP menerima antara 30 hingga 35 penerbangan.
Katanya, dengan wajah baharu itu beliau yakin syarikat pengendali perkhidmatan akan menambah jumlah kekerapan penerbangan ke Kelantan pada masa hadapan.
Media sebelum ini melaporkan, projek bernilai RM440 juta itu merangkumi pembesaran terminal, balai ketibaan dan pelepasan sedia ada yang kini hanya mampu menampung 1.5 juta penumpang setahun.
Selain itu katanya, penambahbaikan turut dilakukan pada infrastruktur dan pelbagai kemudahan lain, termasuk menambah bilangan tempat letak kenderaan kepada 1,300 petak, berbanding sekarang hanya terhad 300 petak.-UTUSAN










