PETALING JAYA: Asisten Komisioner Polis (ACP) antara tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung satu kes pemerasan bernilai RM1.25 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, tangkalan dilakukan terhadap tiga pegawai berpangkat ACP, Deputi Superintenden Polis (DSP) dan Inspektor berusia lingkungan antara 38 sehingga 50 tahun.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kesemua suspek menafikan penglibatan dalam kes disiasat.
“Namun permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat esok.
“Siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang dan Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan akan dilakukan USJT di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu barang siapa melakukan pemerasan hendaklah dihukum pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Beliau berkata, kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“PDRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan sedang giat mengumpul maklumat risikan serta bukti secukupnya bagi memastikan kesemua yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya. – UTUSAN










