JELEBU: Seramai 14 individu yang terdiri dari tiga buah keluarga terselamat meskipun sebatang pokok durian tumbang dan menghempap rumah pusaka mereka dalam kejadian yang berlaku di Kampung Geylang, Simpang Pertang dekat sini, pagi tadi.
Salah seorang daripada mereka, Rashidi Ramli, 42, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika dia sekeluarga bersama keluarga abang dan adiknya pulang berkumpul di rumah itu.
“Sebelum kejadian berlaku, semuanya berada di dalam rumah dan sedang berehat. Masing-masing ada yang berada di dapur dan ruang tamu.
“Namun secara tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti rekahan dari arah luar. Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata, kami yang berada di dalam rumah tidak sempat keluar dari rumah dan pokok setinggi kira 15 meter dengan ukur lilit 152.4 sentimeter terus menghempap di bahagian garaj kereta dan sebahagian ruang tamu.
“Keadaan kami memang cemas, mujur kejadian itu tidak mendatangkan apa-apa kecederaan pada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata, pokok durian itu telah berusia 43 tahun dan kejadian itu juga menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira hampir RM10,000.-UTUSAN.










