3 juta penduduk Lembah Klang alami gangguan bekalan air 5 Jun

Tiga juta penduduk Lembah Klang alami gangguan bekalan air 5 Jun

Gangguan bekalan air
SEBANYAK 660 kawasan perumahan dan perindustrian di enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 5 Jun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira tiga juta penduduk Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyelenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Su­ngai Selangor Fasa 1 pada 5 Jun depan.

Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, kawasan yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Sela­ngor.

Kerja-kerja penyelenggaraan kali kedua selepas yang pertama pada 2021 itu akan bermula pukul 9 pagi, 5 Jun dan dijangka siap pada pukul 7 malam hari yang sama tetapi bekalan dijangka pulih secara berperingkat bermula pukul 3 pagi 6 Jun hingga 3 pagi pada 7 Jun.

TERJEJAS

Kira-kira 660 kawasan perumahan, perindustrian dan institusi pendidikan tinggi akan terjejas termasuk di Sungai Buloh, Damansara, Subang, Bangsar, Segambut, Pusat Bandar Kuala Lumpur, Kapar dan Meru.

Kawasan lain yang turut terjejas adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus induk Shah Alam, Sungai Buloh dan Puncak Alam, Hulu Klang, Selayang, Ra­wang, Puncak Alam, Ijok, Jeram, Saujana Utama, Tanjong Karang, Permatang, Bukit Malawati dan Bukit Badong.

Syarikat konsesi air berke­naan memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan bergantung kepada kawasan seperti jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan.

Menurut Air Selangor, lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas dengan mengutamakan premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Justeru, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual itu.

KOMERSIAL

“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas. Bagi tujuan itu, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil, Pekan Salak (wilayah Sepang) dan Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” jelasnya.

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, gangguan tersebut adalah yang pertama berlaku pada tahun ini. Kali terakhir gangguan melibatkan skala besar adalah pada Oktober 2021.

Gangguan tersebut juga berlaku di lima daerah iaitu Peta­ling, Klang, Gombak, Hulu Se­langor, Kuala Langat dan Kuala Selangor, akibat kerja-kerja penyelenggaraan LRA SSP1 yang menyebabkan penduduk terputus bekalan air selama hampir tiga hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN