Tidak wujud dua kem dalam Bersatu Perlis – Abu Bakar

Tidak wujud dua kem dalam Bersatu Perlis – Abu Bakar

ABU Bakar Hamzah (bersongkok) dalam sidang akhbar bagi menjelaskan tentang kemelut yang didakwa melanda kepemimpinan Bersatu dan Pas Perlis di Kangar, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Abu Bakar Hamzah menafikan wujud dua kem dalam parti itu yang digambarkan sebagai kem Bersatu Perlis dan kem Bersatu ‘Kompleks DUN’.

Gambaran kem Bersatu ‘Kompleks DUN’ itu mula timbul selepas dakwaan dalam kalangan pemimpin Bersatu membabitkan barisan Exco kerajaan negeri yang dikatakan lebih memihak kepada Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berbanding dengan Abu Bakar sebagai Ketua Bersatu negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis.

Dalam masa sama, Abu Bakar juga menafikan Bersatu dan Pas di negeri ini sedang bergolak, sebaliknya hubungan beliau dan Mohd. Shukri berada dalam keadaan baik.

SEMANGAT

“Wujud dakwaan dua kem dalam Bersatu Perlis iaitu kem Bersatu Perlis dan kem Bersatu ‘Kompleks DUN’ adalah satu gambaran yang tidak betul. Kami Bersatu negeri dan bahagian-bahagian mempunyai semangat bersatu.

“Tidak wujud kumpulan A atau kumpulan B sebaliknya kami masih bekerja dan mempunyai tugas-tugas tertentu dalam membela parti. Bersatu Arau, Kangar dan Padang Besar masih setia dan mempunyai hubungan baik,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar ketika menjawab segala dakwaan ko­nonnya berlaku pergolakan antara Bersatu dan Pas khususnya membabitkan isu Menteri Besar berkata, kedua-dua parti di dalam PN itu sebenarnya mempunyai hubungan yang baik.

Katanya, segala percanggahan pendapat yang berlaku tidak mengambarkan bahawa hubungan kedua-dua parti itu tidak serasi.

“Itu (percanggahan) sebagai pandangan peribadi, hubungan kami wakil rakyat dan saya sendiri sebagai Pengerusi Bersatu negeri dan Timbalan PN negeri dengan Menteri Besar adalah sangat baik.

“Dalam isu Menteri Besar, kita tidak ada masalah. Hal berkaitan undang-undang kita serah kepada undang-undang. Selagi Mohd. Shukri mentadbir sebagai Menteri Besar, kita ikut.

MENENTUKAN

“Seandainya dia (Mohd. Shukri) tidak menjadi Menteri Besar, kita berbalik dan serah kepada Raja Perlis menentukan siapa Menteri Besar mengikut Perkara 39 (4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Itu adalah hak Raja Perlis.

“Yang kedua, dalam soal kedudukan Menteri Besar ini, kita serah kepada pucuk pimpinan pusat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis.

Sebelum ini, Abu Bakar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menggerakkan usaha bagi menjatuhkan Mohd. Shukri.

Serentak dengan itu juga, beliau turut membuat laporan polis terhadap beberapa pengendali di laman sosial Tik Tok yang memfitnah beliau kononnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes anak Menteri Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×