PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah melarang mana-mana sekolah untuk mengadakan majlis apresiasi bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Sebaliknya, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata, KPM hanya mencadangkan majlis itu diadakan selepas cuti sekolah bagi membolehkan majlis diadakan lebih meriah.
Beliau berkata, selepas sekolah dibuka nanti, semua calon, ibu bapa dan guru-guru dapat terlibat sama bagi memastikan majlis apresiasi itu bertambah meriah.
“KPM tidak membuat larangan untuk mengadakan majlis apresiasi calon-calon SPM 2023,” katanya pada majlis pengumuman Analysis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial berhubung larangan kepada pihak sekolah untuk mengadakan majlis apresiasi atau sambutan kepada calon SPM 2023.
Berhubung jumlah calon SPM 2023 tidak hadir peperiksaan pula, Azman berkata, seramai 10,000 calon yang tidak hadir SPM 2023 daripada 383,685 calon.
Katanya, pihaknya akan meneliti sebab-sebab ketidakhadiran calon-calon berkenaan.
“Bagaiamanapun telah berlaku penurunan yang agak banyak dari segi calon tidak hadir berbanding tahun lalu dan kita akan teliti satu persatu sebab-sebabnya.
“Program intervensi akan dilaksanakan bagi memastikan perkara ini akan dapat ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Bagi SPM 2022, seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon tidak menduduki peperiksaan itu.








