LUMUT: Seorang pekerja stesen minyak di Batu 10 Lekir di sini masih terkenangkan rakan baiknya, Allahyarham Pegawai Waran II Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi, 41, yang terkorban dalam tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di sini pada 23 April lalu.
Mohd. Azlan Basri, 36, berkata, kini tiada lagi kelibat Mohd. Shahrizan yang hampir setiap hari singgah mengisi minyak keretanya di stesen tersebut selepas habis bertugas.
Menurutnya, dia mengenali arwah sejak belajar di Sekolah Menengah Batu 10, Lekir di sini.
“Macam mana saya nak lupakan dia kerana boleh dikatakan hampir setiap hari kami berjumpa dan berbual-bual apabila dia singgah untuk mengisi minyak di stesen ini. Saya masih terkenangkan keramahannya yang sangat menghormati rakan-rakannya.
“Setiap kali pulang daripada bertugas, arwah singgah mengisi minyak dan kami biasanya berbual selama beberapa minit sebelum arwah pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari stesen ini.
“Kini tiada lagi situasi itu setelah arwah terkorban dalam nahas minggu lalu. Sudah tentu saya merasai kehilanggannya. Saya berdoa rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, sejak dibangku sekolah lagi, dia mengetahui Mohd. Shahrizan memang cukup berminat untuk menyertai perkhidmatan tentera.
“Saya tanya kenapa dia minat nak jadi tentera, dia kata boleh jaga keselamatan negara dan arwah juga berminat pekerjaan beruniform. Dia juga seorang yang aktif dalam Kadet Remaja di sekolah,” katanya.
Katanyanya, dia juga masih terkenangkan pertemuan dengan arwah di bazar Ramadan semasa bulan puasa lalu.
“Ketika itu dia baru habis bertugas, kami terserempak di bazar Ramadan di Batu 10 Lekir. Dia nak belanja martabak tapi ketika itu saya nak cepat, nak berbuka puasa dengan keluarga,” katanya.
Mohd. Azlan juga memberitahu, arwah ada membuat rancangan untuk mengadakan program perjumpaan dengan bekas rakan-rakan sekolah jika ada cuti panjang.
“Tapi nampaknya hasrat arwah tidak kesampaian,” katanya. – UTUSAN










