PONTIAN: Kedai Pak Karim di Kampung Rimba Terjun, dekat sini masih menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5, namun ada sedikit tambahan harga bergantung permintaan pelanggan.
Pengusahanya, Sipon Sawab, 60, berkata, harga asas Menu Rahmah RM5 bagi makan tengah hari terdiri daripada nasi, ayam dan sayur dan jika pelanggan meminta air sirap, tambahan harga RM1 segelas dikenakan.
Katanya, jika mengambil juadah nasi, sayur, ayam dan ikan pula ada sedikit tambahan kerana harga sepotong ikan bergantung jenisnya, malah rata-rata pelanggan memahami situasi itu dengan membayar harga tambahan yang dikenakan.
“Walaupun orang kata harga Menu Rahmah semakin sepi kerana ramai peniaga menarik diri disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, namun saya masih mengekalkannya. Alhamdulillah, Kedai Pak Karim atau dikenali sebagai Kedai Perpaduan ini satu-satunya yang menjual Menu Rahmah di Pontian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sipon berkata, kedainya yang beroperasi sejak 11 tahun lalu telah memperkenalkan Menu Rahmah pada 2013, sebelum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan menu berkenaan.
Katanya, setiap hari sebanyak 40 ekor ayam dan 30 kilogram beras dimasak dengan bantuan tiga anaknya dan mula dijual kepada orang ramai pada pukul 10.30 pagi hingga habis.
“Alhamdulillah, jualan saya biasanya akan habis pada 2 petang dibeli oleh pelanggan daripada pelbagai lapisan umur yang datang serta pekerja kilang di hadapan restoran ini setiap hari,” katanya sambil memberitahu hanya meneruskan perniagaan diusahakan bapa mentuanya, A. Karim Belohik, 77, yang menjual pelbagai jenis makanan pada harga rendah.
Dia dan isteri. Maslizan, 57, serta anak-anak menyambung legasi yang dimulakan bapa mentua itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
Selain menjual makanan tengah hari, Kedai Makan Perpaduan juga menjual sarapan seperti nasi lemak, mi goreng, lontong dan minuman setiap pagi.
Ditanya keuntungan yang diperoleh menerusi harga jualan sedemikian, Sipon berkata, walaupun hanya 50 sen, namun kehadiran ramai pelanggan tentunya memberi rezeki kepada mereka. – UTUSAN











