Susah, senang penjawat awam perlu dihargai – PM

Susah, senang penjawat awam perlu dihargai – PM

ANWAR Ibrahim memeriksa kawalan kehormatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Tambun, semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan kerajaan me­naikkan kadar gaji penjawat awam termasuk anggota beruniform seperti bomba selain polis dan tentera adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan tanggungjawab mereka menjaga keamanan negara, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat kadang-kadang berleter, mengeluh dan mempertikai beberapa keputusan kerajaan apabila memberikan tambahan upah dan pengiktirafan kepada penjawat awam.

“Dia kata, mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang, kenapa kerajaan pilih untuk menaikkan elaun dan gaji serta upah penjawat awam?

“Dia lupa, negara aman, selamat daripada kebakaran dan tanah runtuh semuanya kerana pengorbanan. Kita lupa, negara ini aman dan selamat kerana kawalan tentera, polis dan bomba.

“Tapi kadang-kadang simpati dan kefahamannya kurang, ini yang jadi masalah kita. Kita anggap ini suatu khidmat yang harus ada. Ya, tapi siapa yang berkhidmat itu?

“Anak-anak kita, keluarga kita. Mereka melalui satu latihan, memerlukan pengorbanan, ada yang terkorban nyawa, ada cedera parah tapi mereka dapat menjamin satu keadaan yang selesa bagi negara.

“Sebab itu bagi kerajaan dan rakyat seluruhnya, saya me­nyatakan penghargaan terima kasih atas khidmat dan jasa mereka,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tambun di sini, semalam.

Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat menolak pemimpin yang mengkritik keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam tanpa alasan munasabah.

Menurut beliau, mulai 1 Di­sember nanti, rakyat bakal me­nyaksikan kenaikan gaji penjawat awam yang terbaik pernah dibuat dalam negara.

Kata beliau, kenaikan itu dilakukan walaupun keadaan ekonomi tidak begitu baik, namun ekonomi negara tetap berkembang.

Sementara itu, di Arau, kelmarin, Anwar menjelaskan, peningkatan gaji penjawat awam yang dijangka membabitkan kos lebih RM10 bi­lion mulai tahun depan boleh ditampung dengan pengurusan kewangan lebih tegas.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa peningkatan gaji penjawat awam bermula Disember depan mampu dilaksanakan dengan kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Kata Perdana Menteri, keputusan menaikkan gaji penjawat awam adalah satu ganjaran yang adil dan sebagai usaha untuk meningkatkan lagi kefahaman tugas dan disiplin mereka.

“Kenaikan gaji ini boleh dilaksana kerana kita boleh ka­wal pengurusan kewangan. Saya yakin ada barakah, ada nikmat kalau kita betul-betul strict (tegas) dan rigid (tegar) dalam hal ini.

“Tingkatkan kefahaman, kerja bersungguh-sungguh, disiplin polis, tentera dan jadi saya bertanggungjawab untuk pastikan ini (kenaikan gaji) boleh dilaksana,” katanya ketika berucap dalam program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 bertajuk Jihad Membina Negara di Masjid Alwi di sini, kelmarin.

Baru-baru ini, Anwar mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN