DI MATA kasar kita, kehidupan seorang Rozita Che Wan seperti sempurna. Hidupnya mewah, dikelilingi keluarga, sahabat yang baik-baik semuanya. Namun, hidup sebagai seorang manusia, mana mungkin tenang-tenang sahaja bukan?
Apa yang sebenarnya dilalui oleh wanita besi berusia 50 tahun ini? Bagaimana dia menyimpan dalam semua kesedihan, gundah gulana supaya yang terlihat di mata umum hanyalah kehidupan bahagia.
Bukan mahu ‘menipu’. Namun tidak semua perkara perlu dipertontonkan kepada masyarakat. Berpegang kepada prinsip, tidak semua suka kita, ada perkara yang cukup kita dan mereka terdekat sahaja tahu.
Jawablah mengorek dalam isi hati Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta. Apa pengorbanan terbesar dia sebagai anak seni? Di mana kekuatan untuk dia berpaut? Che Ta, jawablah!
Che Ta dilihat secara kasarnya seorang yang sentiasa mewah, gah. Seperti tidak ada tempoh sukar dalam hidup. Sedangkan Che Ta juga manusia biasa, tidak mungkin boleh lari daripada dugaan. Bagaimana Che Ta ‘menutup’ sisi tersebut dalam hidup?
Dalam hidup ini kita jangan terlalu pedulikan apa orang lihat dan kata. Mereka tidak tahu apa yang kita lalui. Susah atau senang kita, orang hanya boleh melihat. Tetapi rasanya kita sendiri tahu.
Susah orang caci, senang orang dengki. Jadi, baik saya jalani apa sahaja kemelut secara sendiri. Kita susah, kita sendiri kena usaha. Tak boleh harap orang. Dulu masa mak saya susah, tiada siapa tolong.
Jadi, saya belajar daripada pengalaman itu. Memanglah secara kasarnya terlihat gah, mewah namun apa yang saya korbankan, lalui untuk capai kehidupan ini hanya Tuhan sahaja yang tahu jerih perihnya.
Apa pengorbanan terbesar Che Ta sepanjang bergelar anak seni? Mungkin pengalaman pahit yang sehingga kini tidak dapat Che Ta lupakan?
Privasi kehidupan kita, itu pengorbanan terbesar saya sebagai anak seni. Sampai ruang privasi kita diceroboh. Namun itulah harga yang perlu kami bayar. Orang tak pedulikan pun perasaan kita. Sebab itu, saya cakap, gembira dan sedih hanya kita yang tahu dan lalui.
Pengalaman pahit? Saya digosipkan dengan perkara-perkara yang tidak betul Berdepan fitnah yang sehingga kini, mungkin orang masih belum maklum kebenaran.
Saya pernah difitnah tidak bayar gaji pemandu peribadi sedangkan akhirnya kebenaran berpihak kepada saya. Saya terpaksa turun naik pejabat buruh, hujung-hujung pihak tersebut tidak muncul pun.
Jujur, Che Ta pernah tak menangis apabila mengenang pengalaman lalu yang mungkin sehingga kini berbekas dalam hati?
Tidak pernah, saya tak pernah menangis mengenang pengalaman lalu. Tak pernah lihat semula apa yang telah saya lalui. Tak ada masa pun untuk buat semua itu. Lebih baik saya fokus dengan masa hadapan.
Untuk apa saya menangis bersedih. Semua itu pengalaman hidup yang menjadikan siapa diri saya sekarang.
Apa kekuatan Che Ta? Selain keluarga, anak-anak?
Keinginan saya dalam hidup melebihi segala-galanya. Itu yang beri saya semangat dan kekuatan. Penat memang penat, tetapi sebab itu saya tak sempat pun nak bersedih merintih semua.
Cuma adakala apabila saya rasa tertekan dengan masalah kerja dan sebagainya, Zain lah bahu untuk saya bersandar. Saya selalu bercerita dengan Zain. Dia suami yang sangat bermotivasi dan menyokong saya.
Apa projek seni baharu? Drama baharu? Mana tahu nak aktif menyanyi sejak Che Ta sendiri menyanyi untuk lagu produk baharu.
Projek seni? Tidak ada buat masa sekarang. Bukan apa, saya sedang dalam fasa ‘malas’ hendak berlakon. Tawaran sentiasa ada tetapi itulah, kalau berlakon memang ambil berhari, berminggu, kadang-kadang berbulan.
Habis perniagaan saya siapa mahu uruskan? Lebih baik saya fokus satu-satu. Tak mahu kejar semua. Saya fokus perniagaan dahulu.










