SEREMBAN – Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) Negeri Sembilan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menunjukkan prestasi lebih baik iaitu 4.33, sekali gus melepasi keputusan GPN di peringkat nasional 4.60.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan negeri, Dr. Roslan Hussin berkata, pencapaian itu merupakan keputusan terbaik bagi negeri ini bagi tempoh 10 tahun berbanding 4.5 bagi SPM 2022 dengan peningkatan 0.17 mata.
Roslan berkata, seramai 14,158 calon SPM bagi tahun 2023, daripada jumlah itu 631 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 533 calon pada tahun sebelumnya.
“Terdapat 20 calon berjaya memperoleh A bagi semua mata pelajaran bagi SPM 2023 berbanding 16 calon mendapat semua A bagi tahun 2022.
“Berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.15 mata iaitu 4.31 pada SPM 2023 berbanding 4.46 pada tahun lalu, begitu juga calon luar bandar meningkat 0.22 mata iaitu 4.47,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jelas Roslan, Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di negeri ini adalah Kolej Tunku Kurshiah dengan catatan GPS 1.25, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Rembau (GPS 1.58), SMK King George V, Seremban (GPS 2.21) bagi sekolah harian.
“Seramai 13,008 calon layak menerima sijil SPM pada 2023 peningkatan 1.87 peratus berbanding 13,215 calon bagi 2022.
“Sebanyak 38 buah sekolah telah mencatat pencapaian 100 peratus layak mendapat sijil SPM tahun 2023,” katanya.








