Siti Aishah akui takut ke Narathiwat - Utusan Malaysia

Siti Aishah akui takut ke Narathiwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Mangsa letupan bom motosikal di  Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand malam kelmarin mengakui takut dan serik untuk ke negara berkenaan.

Siti Aishah Ismail, 31, berkata, kejadian kira-kira pukul 9.35 malam waktu Thailand itu mengakibatkan dia mengalami cedera ringan pada bawah dagu selepas terkena cebisan letupan bom selain bengkak di kepala.

Menurutnya, kakak iparnya, Hariza Aziz, 38, yang mengandung tujuh bulan mengalami sesak nafas kesan letupan tersebut.

“Saya bersyukur kerana kecederaan yang dialaminya tidak serius. Ajal saya dan anak saya belum sampai. Kejadian letupan bom itu terlalu dekat dengan tempat kami sedang bersiar-siar di tapak ekspo.

“Sejujurnya, saya serik dan takut untuk ke Narathiwat lagi. Nasib baik motosikal kami tidak mengalami kerosakan yang teruk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas masuk ke sempadan negara kira-kira pukul 5.05 petang tadi melalui Jeti Feri JKR, Pengkalan Kubor di sini.

Siti Aishah memberitahu, bagaimanapun, urusannya di Thailand belum selesai dan perlu menjejakkan kaki semula ke Narathiwat selepas ini apabila cukai jalan dan geran motosikalnya hilang semasa insiden itu.

Sementara itu, suami kepada Hariza, Mohd. Adam Ibrahim, 31, berkata, dia memapah isterinya yang sarat mengandung selepas terdengar letupan bom sejauh 20 meter dari lokasi mereka makan malam dan bersiar-siar.

Katanya, insiden itu menyebabkan isterinya sesak nafas dan anak dalam kandungannya tidak bergerak.

“Saya agak panik apabila isteri memaklumkan bahawa tiada pergerakan anak dalam perutnya. Selepas keadaan isteri semakin stabil, dia dapat merasakan semula pergerakan anak di dalam kandungan.

“Insiden itu turut menyebabkan cermin belakang kereta jenis Proton Wira Aeroback miliknya pecah akibat terkena serpihan bom,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua wanita rakyat Malaysia cedera dalam insiden letupan bom motosikal di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand malam kelmarin.

Kejadian itu turut mengakibatkan enam lagi individu mengalami kecederaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN