Sindiket penipuan menyamar jadi Goldman Sachs perdaya mangsa, rekod kerugian RM11.4 juta - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan menyamar jadi Goldman Sachs perdaya mangsa, rekod kerugian RM11.4 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) dalam sidang akhbar di Menara KPJ hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik satu sindiket penipuan pelaburan menyamar sebagai sebuah syarikat pelaburan terkenal dunia, Goldman Sachs untuk memperdaya orang ramai sehingga menyebabkan kerugian hampir RM11.4 juta terbongkar selepas polis menahan 12 individu.

Kegiatan sindiket yang aktif sejak Februari lalu berjaya dilumpuhkan menerusi Operasi Nuri 7/24 membabitkan beberapa siri serbuan di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak pada 29 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menerusi serbuan itu, 12 individu yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun.

“Serbuan ini adalah hasil risikan yang dijalankan selepas kita menerima 41 laporan polis daripada mangsa penipuan sindiket ini membabitkan kerugian berjumlah RM11.39 juta.

“Antara suspek ditahan termasuk yang berperanan sebagai pengarah syarikat dan pemilik perniagaan yang digunakan sebagai akaun keldai dalam aktiviti penipuan pelaburan yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket penipuan ini beroperasi secara dalam talian dengan menggunakan nama syarikat pelaburan yang terkemuka di dunia iaitu Goldman Sachs bagi memperdayakan mangsa.

Kata Ramli, Sindiket ini didapati menggunakan laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sebagai medium pemasaran dan komunikasi dengan mangsa selain mengiklankan promosi pelaburan melalui laman sosial dengan aplikasi sistem algoritma Facebook.

“Skim pelaburan ini menawarkan pulangan yang tinggi iaitu 15 peratus hingga 200 peratus sebulan. Keuntungan pelaburan dijamin melalui bimbingan dan bantuan daripada pakar analisis pasaran modal atau ‘Cikgu Trader,” jelasnya.

Ramli memberitahu, mangsa yang terpedaya akan diminta memuat turun aplikasi ‘Bam Pro’ dan ‘Baly Pro Apps ‘di telefon bimbit menerusi ‘App Store’ dan ‘Play Store’.

“Mangsa seterusnya diarahkan membuat pindahan wang pelaburan ke akaun syarikat keldai yang ditetapkan oleh sindiket.

“Mangsa akan menyedari telah ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi,” ujarnya.

Ramli berkata setakat ini sebanyak 29 kertas siasatan dibuka membabitkan sindiket ini dengan nilai kerugian RM11.39 juta.

“Siasatan mengenalpasti sebanyak19 akaun bank membabitkan tiga syarikat dan 16 perniagaan disalahgunakan sindiket ini sebagai keldai akaun untuk menerima wang daripada mangsa.

“Kesemua suspek direman tiga hari sehingga semalam dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya.

Justeru, katanya orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan dalam masa singkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×