Silibus AI: Jangan tunggu 2027, mulakan serta-merta

Silibus AI: Jangan tunggu 2027, mulakan serta-merta

KERAJAAN disaran memulakan silibus Kecerdasan Buatan (AI) dengan segera bagi menjamin generasi muda negara tidak ketinggalan dalam bidang tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh menunggu sehingga pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027 untuk memperkenalkan silibus Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pendidikan dalam bidang AI sepatutnya dimulakan segera tanpa perlu menunggu sehingga 2027.

Menurut beliau, semakin lambat generasi muda Malaysia didedahkan kepada AI, semakin jauh lagi mereka akan ketinggalan dalam menguasai teknologi masa depan itu.

KETINGGALAN

“Perkembangan teknologi AI sangat pesat. Semakin lambat kita bermula, semakin jauh anak-anak kita ketinggalan dalam penguasaan AI berbanding negara lain,” katanya.

Kata beliau, tempoh tiga tahun itu bukan sahaja akan menjadi sia-sia tetapi juga kritikal kerana teknologi AI ini terlalu pesat dan sektor pendidikan harus memulakannya serta-merta.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, Malaysia masih lagi jauh ke­tinggalan berbanding negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah yang memberi peruntukan besar dalam mengembangkan AI di negara masing-ma­sing sejak dua tahun lalu.

Pensyarah Kanan Seksyen Ke­selamatan Siber, Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, bagi menyusuri negara-negara maju mengembangkan AI, kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam mempertingkatkan penggunaan sistem awan (cloud) dan memori Nvidia.

“Untuk penggunaan biasa AI, capaian internet di Malaysia masih memadai. Tetapi untuk pembangunan dan penciptaan algoritma AI atau GPT, Malaysia masih jauh ketinggalan,” katanya.

PAKAR

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga Profesor dalam bidang komputeran, Prof. Dr. Shafry Rahim berkata, pakar dalam bidang teknologi AI masih lagi kurang di Malaysia.

Menurut beliau, pakar dalam membangunkan algoritma yang cerdas dan Large Language Model (LLM) untuk negara juga masih lagi tidak banyak di Malaysia.

Kata Shafy, disebabkan perkara itu, penyelesaian masalah kompleks dalam mengaplikasikan AI sebagai pengantara melibatkan beberapa bidang kritikal seperti keterjaminan makanan, pertahanan dan keselamatan negara, sukar untuk dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan kini dalam proses reformasi untuk menambah baik pendidikan rendah dan tinggi ke arah bidang termaju itu.

Katanya, pelan tindakan telah disediakan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu melatih pakar dalam bidang ini dalam kadar segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN