PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan susulan siasatan oleh polis terhadap petugas media sebuah portal berbahasa Inggeris berhubung penerbitan artikel mengenai kasino di Forest City.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyiasat sebaliknya polis bertindak berdasarkan laporan dibuat firma guaman yang mewakili syarikat berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa ia bukan laporan daripada kerajaan, Kementerian Komunikasi atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Tindakan siasatan dilakukan oleh pihak polis mengikut prosedur ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sudah selesai merakam keterangan petugas media berkenaan pada Isnin lalu.
Sebelum ini juga, Razarudin memaklumkan siasatan dijalankan susulan satu laporan dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.
Siasatan dilakukan selepas artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.
Justeru, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya Corp dan Genting Malaysia sebelum ini menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.
Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corp, Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City, Johor.









