PETALING JAYA: Republik Kyrgyz meminta penasihat dari Malaysia bagi membantu negara itu dalam menguruskan infrastruktur kewangan dan reformasi ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, hasrat itu dizahirkan oleh Presiden Republik Kyrgyz, Akylbek Zhaparov semasa kunjungan hormat beliau ke atas pemimpin negara berkenaan semalam.
“Beliau kalau boleh minta supaya (kita) melantik seseorang yang boleh menjadi penasihat kepada kerajaan (Republik Kyrgyz). Itu tahap penghormatan dan pengiktirafan mereka kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan dua hari ke negara tersebut.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan yang mengambil masa kira-kira sejam itu digunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, termasuk konflik Palestin serta isu Afghanistan.
“Peluang itu juga digunakan untuk menerokai bidang kerjasama berpotensi antaranya ekonomi, industri halal, pendidikan, pelancongan, budaya, kerjasama antara Parlimen, ekonomi digital, tenaga, ketersambungan dan perlombongan,” katanya.
Pada masa sama, pemimpin kedua-dua negara turut menandatangani kenyataan bersama antara lain berkaitan kerjasama pelaburan, ekonomi dan perdagangan sebelum menghadiri resepsi santai.
Terdahulu, Anwar diberi sambutan rasmi oleh Kerajaan Republik Kyrgyz di Kediaman Negara Ala Archa, sempena lawatan sulungnya negara itu.
Beliau juga diberi kesempatan memeriksa perbarisan kawalan kehormat selepas memberi penghormatan di tapak peringatan Ata-Beyit Bishkek.
Perdana Menteri kemudiannya meneruskan lawatan ke Kazakhstan untuk lawatan rasmi sulungnya selama dua hari, bagi mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara yang menjangkau lebih tiga dekad.
Ketibaan Anwar disambut rakan sejawatannya, Olzhas Bektenov; Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Alibek Bakayev; Datuk Bandar Astana, Zhenis Kassymbek; Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Mohd Adli Abdullah dan pegawai-pegawai dari pejabat Kedutaan Malaysia di negara itu. – UTUSAN











