Rabun bukan halangan Aisyah genggam 9A

Rabun bukan halangan Aisyah genggam 9A

AISYAH Mohd. Rosdi menunjukkan keputusan SPM 2023 yang dimuat turun ke dalam telefon miliknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Saya tidak boleh baca buku lama-lama nanti kepala pening. Sebab itu saya kena fokus betul-betul apa yang cikgu ajar dalam kelas.”

Itu kata calon Murid Berkeper­luan Khas (MBK) Cemerlang bagi kategori rabun dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Ma’rifil Wataniah 1, Aisyah Mohd. Rosdi ketika ditanya rahsia kejayaan dia memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Aisyah, 18, memperoleh A+ bagi subjek bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Al-Syariah; A- bagi subjek Al-Lughah Al-Arabiah Al-Muasirah serta empat lagi A bagi bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Seni Visual dan Usul Al-Din.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia tidak menjangka memperoleh 9A khususnya A dalam subjek Matematik kerana tidak pernah mendapat keputusan A dalam subjek tersebut sejak Tingkatan Satu.

“Semasa percubaan, saya cuma mendapat 7A dan 2B iaitu Matematik serta Sains. Alhamdulillah, berkat buat banyak latihan, saya akhirnya berjaya juga mendapat 9A,” katanya yang bercita-cita menjadi usahawantani.

Jelas Aisyah, dia mengalami masalah rabun sebelah mata sejak kecil, namun, bersyukur kerana tidak pernah dipinggirkan oleh guru dan rakan-rakan walaupun bersekolah di sekolah harian biasa.

“Yang penting, kita kena jaga hubungan dengan mereka terutamanya guru-guru. Selain ibu bapa mereka (guru) yang beri kita ilmu.

“Lagi satu, saya selalu amalkan solat dhuha setiap pagi kerana jarang sekali dapat bangun untuk solat tahajjud,” kata anak kepada pasangan Mohd. Rosdi Mat Sepiah, 46, dan Masyanti Noor Rehan, 44.

Dalam pada itu, Masyanti bersyukur anaknya itu dinobatkan antara pelajar cemerlang di negeri ini walaupun adakalanya terpaksa belajar dalam serba kekurangan.

“Saya masih ingat. Dulu, tiap-tiap tahun saya kena pergi sekolah untuk jumpa cikgu dia. Anak saya kalau duduk dalam kelas tak boleh duduk tepi atau belakang. Dia akan pening-pening. Kadang-kadang sampai muntah.

“Sebab itulah setiap kali belajar dalam kelas, saya akan cuba pastikan dia duduk depan dan di tengah-tengah,” katanya, pensyarah bidang animasi di sebuah kolej komuniti di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN