KUALA LUMPUR: Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda petang semalam di ibu negara mengakibatkan sebatang pokok besar tumbang dan menghempap beberapa kenderaan yang melalui Jalan
Sultan Ismail di sini.
Kejadian melibatkan 17 buah kenderaan dan landasan monorel dihalang dengan dahan-dahan pokok selain kerosakan kemudahan awam iaitu perhentian bas.
Seorang lelaki yang merupakan pemandu sebuah kenderaan terlibat meninggal dunia di lokasi.
Laluan kedua-dua hala ditutup menyebabkan kesesakan teruk di lokasi berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang.
Kira-kira 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dibantu BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul bersama jentera FRT-4 dan EMRS-4 dikerah ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhammad Amirudin Mohd. Hassan berkata, terdapat dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota.
“Mangsa pertama merupakan seorang lelaki Melayu berumur 47 tahun, disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) manakala mangsa kedua, lelaki Melayu berumur 26 tahun mengalami kecederaan telah diserahkan kepada paramedik KKM di lokasi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nazron Abd. Yusof berkata, selain seorang mangsa maut, dua mangsa yang cedera ialah seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan pemandu e-hailing serta penumpang, seorang wanita warga Sweden berusia 72 tahun.
“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat keperluan untuk mengkaji semula garis panduan penjagaan pokok-pokok tua di sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.
Jelas beliau, sememangnya pokok-pokok tua hanya menunggu masaa untuk tumbang, lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Kita lihat pokok itu tegap tetapi kita perlu melihat garis panduan yang perlu diambil agar memastikan pokok-pokok sudah tua ini diambil bagi keselamatan orang awam.
“Data berapa banyak pokok tua kita tidak ada buat masa ini, tetapi pemantauan akan dilakukan bagi mengesan berapa banyak pokok tua yang masih ada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – UTUSAN










