PETALING JAYA: Nahas udara yang kerap berlaku di negara ini sejak tiga tahun lalu menimbulkan persoalan – sejauh mana selamatnya pesawat terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai?
Sebanyak sembilan kemalangan udara dilaporkan sejak 2021 dengan empat daripadanya melibatkan pesawat ringan dan enam lagi helikopter termasuk milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Terbaharu, sebuah pesawat ringan jenis Cessna 172N Skyhawk terhempas dekat Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak, semalam ketika menjalani latihan penerbangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pesawat dengan nombor pendaftaran 9M ADA itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada pukul 9.38 pagi.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh menuju ke Tanjong Karang, Selangor pada pukul 7.54 pagi.
Bagaimanapun, ketika berpatah balik ke Ipoh, pesawat terbabit terhempas mengakibatan juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, patah kaki kanan manakala pelatih, Ho Jia Lee, cedera di muka.
Mengulas nahas itu, Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Mejar Dr. Mohd. Harridon Mohamed Suffian berkata, lazimnya nahas pesawat udara berlaku disebabkan beberapa sebab, antaranya kecelaruan teknikal kapal terbang tersebut dan masalah enjin pesawat.
“Keadaan struktur pesawat yang lusuh, masalah elektronik dan elektrik, keadaan cuaca dan kecuaian manusia juga boleh menyebabkan nahas pesawat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, kalau dilihat dari segi statistik kemalangan udara, secara purata puncanya adalah berkaitan antara satu sama lain, contohnya kesilapan manusia semasa penyelenggaraan pesawat yang akan menjurus kepada masalah teknikal pesawat.
Selain itu, jelasnya, mengikut statistik terkini, dapat dilihat pesawat ringan akan lebih terdedah kepada risiko keselamatan udara.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jitu dan tepat juga boleh menjurus kepada insiden penerbangan,” ujarnya.
Lazimnya kata beliau, siasatan kemalangan udara mengambil tempoh setahun atau lebih untuk mengurai lebih lanjut punca sebenar dan analisis yang amat mendalam serta bernas akan dilaksanakan untuk merungkai secara tepat punca insiden udara.
“Langkah wajar yang patut dilaksanakan oleh badan-badan berkuasa adalah membangunkan Model Matematik Percanggahan yang dapat mentakrifkan secara jitu dan mendalam ekosistem operasi penerbangan di Malaysia dan model matematik ini dapat memberi unjuran-unjuran insiden penerbangan dan ini membolehkan pihak berkuasa menerbitkan solusi yang optimum bagi mengurangkan kadar kemalangan udara.
“Model matematik ini mengguna pakai data-data sedia ada dan polar percanggahan akan diekstrak daripada data-data ini untuk memberi representasi yang lebih utuh akan permasalahan operasi penerbangan.
“Saya telah membangunkan beberapa Model Matematik Percanggahan untuk beberapa organisasi di luar negara dan ini telah membantu mengoptimumkan operasi penerbangan mereka seterusnya meningkatkan nilai berangka keselamatan mereka,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu melakukan sesuatu termasuk membuat pindaan terhadap Akta 3, Akta Penerbangan Awam 1969 yang mensyaratkan syarikat penerbangan mempunyai data penerbangan dan penyelenggaraan lengkap bagi mengurangkan kemalangan udara di negara ini.
Katanya, akta sekarang adalah memadai tetapi beberapa pindaan mungkin perlu untuk mewujudkan satu sistem yang holistik dan komprehensif.
Menurutnya, langkah itu perlu dimasukkan dalam akta tersebut supaya satu arahan atau nasihat dapat diberikan kepada organisasi yang terlibat dalam operasi penerbangan untuk menyediakan data berkesan.
“Data-data ini akan digunapakai untuk membuat analisis yang jitu dan bernas supaya organisasi terlibat dapat mengetahui lebih mendalam keadaan dan tahap kesihatan.
“Adalah mustahak akta ini juga mengandungi arahan atau nasihat kepada organisasi-organisasi penerbangan untuk membangunkan model matematik tertentu bagi menganalisis data penerbangan dan penyelenggaraan secara tepat dan betul supaya tahap keselamatan pesawat selalu berada pada tahap optimum,” jelasnya.
Mohd. Harridon berkata, usaha mengurangkan kemalangan udara perlu dilakukan kerana laporan mengenainya sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi negara dan akan dilihat secara serong atau negatif. – UTUSAN










