KLUANG: Seorang penyelia ladang maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabas di Batu 13, berhampiran Kampung Gajah, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Toyota Hilux yang dipandu Nor Syafika Syahira Ismail, 24, dari arah Kluang menuju ke Mersing dilaporkan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Honda C100 ditunggang K. Subramonie, 69.
“Akibatnya, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu Toyota Hilux dan tiga penumpang mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, dekat sini untuk menerima rawatan.
Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN










