Peniaga Medan Selera Sultan Muhammad minta surau, parkir

Peniaga Medan Selera Sultan Muhammad minta surau, ruang parkir

NGA Kor Ming melakukan tinjauan di Medan Selera Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Para peniaga Medan Selera Sultan Muhammad, Batu Berendam di sini mengharapkan pembinaan surau dan tempat parkir kenderaan untuk projek naik taraf lokasi itu yang bakal dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) tidak lama lagi.

Ini susulan kelulusan peruntukan berjumlah RM500,000 seperti diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming Sabtu lalu.

Peniaga, Nina Hariani Mohd. Khalid, 43, berkata, kali terakhir ia dinaik taraf adalah pada tahun lalu yang mana MPHTJ membaik pulih struktur bangunan seperti bumbung dan lantai.

Ujarnya, buat masa ini semua peniaga selesa beroperasi di situ tanpa sebarang masalah, namun memohon pembinaan surau dan tempat parkir kenderaan untuk keselesaan pengunjung.

“Kalau mahu dinaik taraf kami mohon MPHTJ pertimbangkan kemudahan surau dan tempat parkir kenderaan. Pelanggan yang datang ke sini terutama pada waktu makan tengah hari memang ramai, jadi kalau ada surau mudahlah mereka untuk menunaikan solat Zohor.

“Lagi satu tempat parkir kenderaan. Medan selera ini terletak di tepi jalan besar yang agak sibuk pada waktu puncak. Ada pelanggan yang tidak singgah sebab kadang-kadang tiada parkir kosong. Situasi sedemikian sedikit-sebanyak merugikan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, ketika program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Ke-21, Melaka menerima peruntukan lebih RM86.2 juta untuk 17 projek pembangunan berjumlah RM83.6 juta termasuk penyerahan bantuan kewangan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) bernilai RM2.6 juta.

Antara peruntukan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 bernilai RM1 juta dan Projek Pembangunan Di PBT berjumlah RM8 juta.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Norazni Arshad, 45, berharap mereka diberikan lokasi sementara untuk berniaga sekiranya Medan Selera Sultan Muhammad perlu ditutup ketika kerja-kerja naik taraf berlangsung.

“Kita kalau boleh tidak mahu macam sebelum ini, kedai terpaksa tutup kena cari lokasi lain untuk berniaga sementara. Saya minta MPHTJ fikirkan alternatif dengan menyediakan lokasi lain agar kami boleh berniaga ketika proses naik taraf berjalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×