Penagih dadah tidak perlu ke penjara

Penagih dadah tidak perlu ke penjara

SAIFUDDIN Nasution Ismail (depan, dua dari kiri) dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meminda akta bagi membolehkan penagih dadah diberi peluang menjalani rawatan pemulihan dan tidak dihantar ke penjara selepas dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Langkah ini dapat mengurangkan tugas polis dan mahkamah selain mengurangkan kesesakan di penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya kini dalam fasa akhir meminda beberapa peruntukan dalam Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menurutnya, proses itu sedang dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan.

“Kalau mengikut amalan sekarang, tanpa kita buat pindaan itu, ia akan membawa tugas tambahan kepada polis, kena buka IP (kertas siasatan), kemudian berakhir pertuduhan di mahkamah, kemudian ke penjara, penjara sesak, kes mahkamah jadi bertambah, tugas polis buka IP pun banyak.

“Jadi, apabila ada elemen penyahjenayahan (decrimininalisation), maksudnya kita ada satu kaedah yang diboleh­kan melalui akta ini, di mana mereka yang terbabit boleh terus diberi peluang menjalani rawatan terutama membabitkan kes yang mereka datang secara sukarela (ke pusat pemulihan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, proses itu juga akan melibatkan tanggungjawab Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun ini.

“Kami optimis pindaan (perbincangan) ini berakhir dengan segera sebelum dapat dibentangkan di Parlimen. Pindaan ini kelak diharap dapat memberikan impak besar kepada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dalam menunaikan peranan mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, konsep besar dalam meminda akta terbabit adalah dari aspek penyahjenayahan dalam penyalahgunaan dadah, antaranya membabitkan kesalahan memasukkan bahan terlarang ke dalam badan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, insiden demi insiden terhadap institusi negara akhir-akhir ini tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, malah corak jenayahnya juga berbeza.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kesemua kes jenayah, ugutan dan cubaan menceroboh Istana Negara mempunyai motif berbeza.

Beliau berkata, kes tembakan terhadap anggota polis di Ulu Tiram dikaitkan dengan elemen lone wolf (secara bersendirian), manakala kes cubaan rampasan senjata api di Balai Polis Dato’ Keramat pula disebabkan mabuk.

“Yang kita tahan di Istana Negara, dia (pelaku) kata dia bermimpi dan mimpi itu memerintahkan dia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Yang di Dato’ Keramat pula dia (pelaku) mabuk, jadi tak sama.

“Kesemua corak jenayah itu diperoleh selepas kita profil pelaku jenayah dalam kes-kes berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, merujuk kepada siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis, Jumaat lalu, Saifuddin berkata, perbuatan mengkafirkan orang lain serta tidak bercampur dengan orang lain boleh membawa kepada kemusnahan lebih dahsyat dalam masyarakat.

Jelasnya, fokus siasatan polis terhadap kes itu bukan sahaja tertumpu kepada pelaku semata-mata, malah membabitkan penghasut (individu terdekat suspek).

Menurut beliau, siasatan polis mendapati ahli keluarga suspek tidak suka bercampur dengan orang lain, malah me­nganggap orang di sekeliling­nya sebagai kafir.

“Perbuatan mengkafirkan orang boleh membawa kemusnahan dahsyat. Dari segi agama pun tidak betul dan tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya.

“Siasatan mendapati suspek juga tidak bersekolah dan bercampur dengan orang pun tidak. Jadi, apa sahaja berkait dengan kerajaan dianggap kafir dan dia juga tidak bercampur dengan orang luar.

“Amalan membawa kepada kepercayaaan bahawa iman kita sendiri sempurna dan orang lain rosak imannya dan kafir tidak harus dibenarkan dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya, perbuatan mengkafirkan orang lain memberi implikasi besar termasuk boleh memutuskan silaturahim sesama agama serta membawa implikasi buruk lain kepada masyarakat dan negara.

Ditanya mengenai tanggapan awal terhadap suspek yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI), Saifuddin berkata, apa yang disebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini merujuk kepada latar belakang bapa suspek.

“Rekod kita ada profil. Siapa dan di bawah kegiatan apa. Kumpulan mana, polis semua ada profil. Yang disebut awal oleh Ketua Polis Negara adalah si bapa, namun yang menye­rang balai polis ialah anak.

“Dari segi faktanya (pega­ngan), si bapa. Bagi anak pula, kita tiada rekod,” katanya.

Katanya, polis juga akan menentukan bentuk penggunaan undang-undang bakal dikenakan terhadap ahli keluarga suspek yang ditahan reman sebelum ini.

Jelasnya lagi, beliau memberi ruang kepada polis untuk memperhalusi lagi siasatan dan bentuk undang-undang bakal diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN