Pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia cegah demam denggi - Utusan Malaysia

Pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia cegah demam denggi

TENGKU Zamrah Tengku Sulaiman (dua dari kanan) bersama Dr. Harlina (dua dari kiri) pada Program Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia di Zon A Desa Anggerik, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawasan Zon A Desa Anggerik di Nilai di sini menjadi lokaliti denggi pertama di negeri ini menjalankan projek pelepasan nyamuk Aedes aegypti berbakteria Wolbachia iaitu satu kaedah pencegahan demam denggi di negara ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS), Datuk Dr. Harlina Abd. Rashid berkata, lokaliti Zon A Desa Anggerik, Nilai di daerah Seremban ini telah terpilih sebagai lokasi pertama berdasarkan kekerapan wabak dan kepadatan nyamuk aedes aegypti yang tinggi.

“Lokasi ini dipilih turut berdasarkan beberapa faktor ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu antaranya daripada segi bebanan kes demam denggi dan kerjasama baik daripada penduduk. 

“Jadi untuk memperluaskan lagi ke lokaliti kedua dan seterusnya, KKM bersama JKNS sedang memperhalusi kerana kita ada jawatankuasa teknikal yang menetapkan kriteria-kriteria tersebut. Lokasi sudah ada dan hanya tunggu ‘lampu hijau’ sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Pelepasan Nyamuk Aedes Berwolbachia di Zon A Desa Anggerik, Nilai di sini, hari ini. 

Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman. 

Dr. Harlina berkata lagi, penggunaan nyamuk Aedes berWolbachia dapat mengurangkan kejadian kes dan wabak demam denggi di negeri ini.

“Wolbachia akan bertindak merencatkan virus denggi dalam badan nyamuk aedes dan seterusnya menghalang penyebaran virus kepada manusia. 

“Nyamuk Aedes aegypti berWolbachia jantan dan betina akan dilepaskan di lapangan dan kemudiannya akan mengawan dengan nyamuk Aedes liar. Hasil daripada pengawanan ini akan menyebabkan bakteria Wolbachia tersebar di dalam populasi nyamuk Aedes di lapangan,” katanya lagi.

Katanya lagi, kaedah yang digunakan juga selaras dengan hasrat untuk mewujudkan alam yang bebas dari pencemaran bahan kimia akibat penggunaan racun serangga.

“Dengan pelaksanaan projek ini, kami akan buat pemantauan dan tempoh penggantian nyamuk aedes liar dengan nyamuk Aedes berWolbachia di sesuatu lokaliti yang mengambil masa selama dua tahun enam minggu,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkara berkaitan, Dr Harlina memberitahu, sehingga minggu epidemiologi ke 17 sehingga 27 April lalu, jumlah kes demam denggi di Negeri Sembilan telah mencatatkan sebanyak 2,824 kes berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2023 iaitu hanya 1,032 kes. 

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 1,792 kes (173.6 peratus). Sebanyak dua kes kematian akibat demam denggi juga telah direkodkan di daerah Seremban sepanjang tahun 2024 ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN