Pelajar UiTM maut nahas kereta rempuh belakang lori - Utusan Malaysia

Pelajar UiTM maut nahas kereta rempuh belakang lori

KEADAAN kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 242.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), dekat Rembau pagi tadi.-GAMBAR/IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Johor, maut selepas kereta dinaikinya merempuh belakang sebuah lori dalam nahas di Kilometer 242.6, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, mangsa, Muhamad Alif Hafify Muhamad Hafiz, 21, berasal dari Sungai Besar, Selangor yang merupakan penumpang hadapan kereta itu, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga pelajar lelaki universiti terbabit dan sebuah lori jenis Hino yang dalam perjalanan dari Johor menghala ke Seremban.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu hilang kawalan ke kiri jalan lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori di lorong kiri. 

“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta, Mohamad Wazif Saipol, 21, tidak mengalami kecederaan manakala penumpang depan telah maut susulan kecederaan di bahagian kepala dan badan.

“Penumpang belakang kereta pula, Muhammad Farhan Mahadi, 21, dikejarkan oleh pihak ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ) untuk rawatan segera,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Shaik Abd. Kadar, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan kejadian berkenaan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Kota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan penumpang hadapan yang tersepit dalam kenderaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN