Pasir Panjang masih sesuai sebagai lokasi pengeluaran hasil kupang - Utusan Malaysia

Pasir Panjang masih sesuai sebagai lokasi pengeluaran hasil kupang

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) bersama pengusaha kupang dan penternak terjejas pada majlis penyampaian bantuan kepada mereka di Pasir Panjang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Selepas kejadian pencemaran biotoksin yang dikesan pada kupang yang diternak di kawasan perairan Port Dickson di Pasir Panjang di sini pada bulan lalu, timbul tanya sama ada adakah kawasan itu masih sesuai sebagai lokasi pengeluaran hasil makanan laut itu.

Apatah lagi, sehingga kini penternak dan nelayan di situ masih tidak dibenarkan untuk mengeluarkan hasil kupang dan dwicengkerang lain seperti kerang kerana hasil ujian makmal terhadap sampel ketujuh yang diambil masih mengesan keputusan positif biotoksin melebihi had pengambil selamat untuk manusia iaitu 800 bahagian per bilion (ppb).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri masih melihat kawasan sekitar Pasir Panjang di sini masih berpotensi besar sebagai kawasan penternakan kupang yang dapat menambah pendapatan nelayan.

“Ini lokasi semula jadi, bukan semua tempat ada laut serta pantai dan apabila dipacak sahaja pancang akan menghasilkan kupang, kita negeri yang bertuah. Kita punya potensi yang besar, ini antara yang boleh tambahkan pendapatan sedia ada buat nelayan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan bantuan kepada penternak kupang yang terjejas akibat pencemaran itu di Pasir Panjang di sini.

Pada majlis yang dikelolakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu, seramai 85 orang penternak kupang dan nelayan yang terjejas menerima bantuan wang tunai dari pihak LKIM dan Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM34,500.

Pada 4 April lalu, kupang di perairan Port Dickson disahkan telah dicemari oleh biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan hasil analisis makmal yang dijalankan oleh Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap kupang dan air di kawasan tersebut. 

Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan, analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya yang dikesan pada kupang iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Perikanan menyarankan kupang dan dwicengkerang lain seperti kerang di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan dan meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan dari perairan tersebut.

Tindakan tersebut diambil selepas Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) sebelum itu memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang termasuk dua kes kritikal berlaku di Port Dickson.

Sementara itu, Aminuddin berkata, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, beliau meminta kajian sokongan dari kementerian dan agensi berkaitan dapat dilakukan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya