Pakar perubatan kurang bukan salah UiTM

Pakar perubatan kurang bukan salah UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan penyelesaian ma­­salah kekurangan pakar perubatan yang sedang dihadapi Malaysia ketika ini.

Lagi pula, UiTM hanya mampu melahirkan 20 orang doktor pakar sahaja setiap tahun, sedangkan keperluan negara adalah sekitar 28,000 orang.

Oleh itu tidak logik menya­lahkan universiti itu yang hanya khusus kepada bumiputera sebagai punca kepada kekura­ngan doktor pakar di negara ini.

Selain UiTM terdapat banyak lagi institusi pendidikan tinggi lain yang bertanggungjawab melahirkan graduan perubatan di Malaysia.

Pada masa sama, kekura-ngan pakar perubatan juga berpunca daripada Akta Perubatan Pindaan 2012 apabila undang-undang itu yang menghalang lulusan Parallel Pathway luar negara untuk diterima sebagai doktor pakar di negara ini.

Presiden Kesatuan Kakita­ngan Akademik UiTM, Saharuddin Lin berkata, masalah undang-undang perlu diselesaikan segera bagi memboleh­kan mana-mana individu men­­­jadi pakar melalui Parallel Pathway luar negara diiktiraf, bukannya membuka laluan ke­pada bukan bumiputera mema­suki UiTM bagi mengikuti program pasca siswazah.

“Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah penjaga sah Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR). Masalah kekurangan pakar bedah tidak seharusnya dibebankan kepada UiTM, sebaliknya pihak MMC dan undang-undang mengawal pakar-pakar daripada boleh berkhidmat di Malaysia perlu segera diubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

CADANGAN

Sebelum ini, wujud cadangan beberapa pihak agar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah perubatan ekoran isu kekurangan doktor pakar.

Bagaimanapun, ­cadangan tersebut dibantah pelbagai pihak termasuk alumni dan kakitangan UiTM dengan menggesa pihak-pihak tersebut menghormati peranan universiti itu sebagai institut pengajian tinggi yang memfokuskan kepada orang Melayu dan bumiputera.

Dalam pada itu, Saharuddin menyifatkan cadangan tersebut kononnya bagi meramaikan pakar perubatan dengan membuka laluan kepada bukan bumiputera adalah mustahil kerana proses pembelajaran memerlukan masa.

Menurut beliau, walaupun negara memerlukan 28,000 doktor pakar menjelang 2030, namun keluaran graduan program pascasiswazah di bawah UiTM hanya 20 orang setahun.

“Setahun UiTM hanya boleh keluar 20 pakar, kalau 10 tahun baru 200 orang. Macam mana untuk melihat UiTM sahaja untuk tampung 28,000 pakar.

“Dikatakan bahawa negara memerlukan 28,000 pakar perubatan menjelang 2030. Jika terdapat pihak yang ingin memasukan pelajar bukan bumiputera dan mengharapkan UiTM untuk meramaikan pakar perubatan, adalah dirasakan amat mustahil,” tegas beliau.

GRADUAN

Mengulas lanjut, kata beliau, pada Disember lalu MMC menolak permohonan empat graduan pembedahan kardiotorasik Parallel Pathway Kementerian Kesihatan kolej diraja dari United Kingdom untuk mendaftar sebagai pakar kerana tidak mengiktiraf Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed) dalam pembedahan kardio­torasik.

“Hakikatnya, negara kita mempunyai ramai pakar bedah tetapi mereka berkhidmat di luar negara kerana kelulusan mereka tidak diiktiraf di dalam negara sendiri,” kata­nya.

Katanya, undang-undang sekarang menghalang pakar-pakar tempatan lulusan Parallel Pathway luar negara untuk berdaftar di Malaysia kerana kononnya semua ini adalah untuk melindungi kursus sarjana di dalam negara.

“Jika untuk melindungi kursus sarjana tempatan, negara terpaksa menunggu lama untuk mencapai sasaran. Sekarang pun belum ada lagi pakar yang dikeluarkan oleh program UiTM-IJN tersebut. Adakah kita ingin melindungi kursus tempatan sedangkan belum pun ada pakar yang dikeluarkan daripada kursus berkenaan,” katanya.

Sementara itu. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mahu UiTM Universiti terus kekal kepada status quo dan berpaksikan objektif asal iaitu membantu dalam mening­katkan taraf pendidikan bumiputera.

Ini kerana UiTM adalah ha­nya satu-satunya khazanah pendidikan bumiputera yang ada.
Justeru, MPPK yang terdiri wakil pemimpin universiti yang daripada pelbagai latar belakang tempat pengajian tetap dan teguh pertahankan UiTM di atas peruntukan Per­kara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“MPPK mengambil maklum berkenaan isu yang tular membabitkan institusi ini. Isu tersebut merujuk kepada cadangan dan pendapat individu mahupun tokoh masyarakat yang mencadangkan kemasukan bukan bumiputera ke universiti tersebut baru-baru ini.

“Selain itu, MPPK juga menerima banyak pandangan dan persoalan mahasiswa ber­kenaan pendirian keterbukaan kemasukan bukan bumiputera ke UiTM. Kami juga terpanggil untuk menjawab segala persoalan yang telah dibangkitkan pada ketika ini.

“Kami berpegang teguh supaya UiTM kekal kepada status quo dan berpaksikan objektif asal iaitu membantu dalam meningkatkan taraf pendidikan bumiputera. Hal ini kerana UiTM adalah hanya satu-satu­nya khazanah pendidikan bumiputera yang ada,” kata kenya­taan MPPK semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×