Nekad warga emas tunai ibadah haji

Nekad warga emas tunai ibadah haji

SEBAHAGIAN jemaah haji ketika menerima kad Nusuk yang disampaikan Syed Salleh Syed Abdul Rahman.­­
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Tanpa waris di sisi dengan usia lanjut sesuatu yang sukar bagi Azizah Awang Dollah, 73, untuk mengerjakan haji.

Ia disebabkan penyakit gastrik serta faktor keupayaan fizikal yang agak terbatas untuk bergerak lebih jauh selain menahan cuaca panas.

Warga emas itu perlu bergantung kudrat kepada rakan-rakan lain untuk membantunya bergerak ke mana sahaja termasuk ketika mengerjakan ibadah.

Bagaimanapun untuk musim ini, Azizah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tetap nekad dan berdoa serta berserah kepada Allah SWT untuk menunaikan haji musim ini selepas empat kali menolak tawaran.

“Makcik sudah mendapat panggilan daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebanyak empat kali tetapi terpaksa menolak atas sebab kesihatan, Covid-19 dan bertukar nombor telefon.

“Apabila mendapat panggilan lagi untuk kali kelima, makcik nekad untuk pergi juga sebab Allah SWT sudah panggil. Selain itu, makcik fikir tetap kena pergi juga walaupun tiada peneman. Apa-apa makcik berserah kepada Allah SWT,” katanya.

AZIZAH AWANG DOLLAH

Walaupun tanpa kudrat yang kuat, dia berjaya mengikuti kursus haji setiap kali mendapat panggilan sebelum ini dengan keyakinan mengerjakan haji dengan sempurna.

Dalam pada itu ditanya petua untuk kekal sihat, Azizah berkata, dia tidak mengambil gula dalam diet seharian.

“Makcik memang tidak makan gula. Kalau beli sekilo gula tu boleh tahan setahun,”ujarnya.

Azizah yang mempunyai seorang anak berumur 40 tahun dan dua orang cucu berkata, anaknya tidak dapat mengiringi kerana dia berumur 73 tahun.

“Tabung Haji hanya benarkan anak mengiringi sekiranya makcik berumur 75 tahun ke atas.

“Walau apapun makcik kena beringat dan bawa duit lebih sikit untuk upah orang tolak kerusi roda seperti ketika umrah pertama tempoh hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×