SEREMBAN: Pasukan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) kini giat mencongak formasi sesuai menjelang pertembungan sulung Liga Super mereka menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada 18 Mei ini.
Ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab. Aziz berkata, tumpuan kini adalah membentuk gandingan mantap untuk berdepan dengan juara 10 kali Liga Super itu di laman lawan.
Katanya, pasukannya memahami tugas itu tidak mudah tetapi setiap pemain telah menunjukkan komitmen untuk menjayakan perancangan yang telah dinukilkan.
“Para pemain semakin selesa dan faham dengan rancangan telah dibentangkan kepada mereka walaupun sedar kedudukan JDT di kelas yang berbeza.
“Saya gembira dengan apa yang telah ditunjukkan oleh para pemain dan berharap tempoh kira-kira 10 hari sebelum perlawanan sulung NSFC ini prestasi pasukan akan bertambah mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Singapura Tanjung Pagar United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Dalam perlawanan itu, NSFC menewaskan kelab dari Singapura itu, 2-0, hasil jaringan Zainal Abidin Jamil pada minit ke-44 dan sepakan penalti oleh pemain import dari Jepun, Sasaki Takumi pada minit ke-78.
Azzmi yang dipilih mengendalikan skuad Hobin Jang Hobin itu sejak 1 Mac lalu berkata, sehingga kini persediaan NSFC adalah mengikut jadual dengan persefahaman dalam kalangan pemain semakin baik.
Jelasnya, pasukan itu telah mengadakan tujuh perlawanan persahabatan termasuk empat dengan pasukan Liga Super seperti Kuala Lumpur (KL) City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan Darul Naim FC.
“Kami juga telah memuktamadkan seramai lima pemain import termasuk penyerang baharu dari Sepanyol, Miguel Angel Junco.
“Pasukan ini gembira dengan pemain import yang ada kerana faham tidak mudah dan tidak murah untuk mendapatkan pemain yang lebih berkualiti,” ujarnya.
Beliau mengharapkan semua pihak termasuk para penyokong Negeri Sembilan akan terus bersama dengan pasukan kerana ia penting untuk NSFC dalam Liga Malaysia musim ini.-UTUSAN.










