MoU peruntukan pembangkang sudah siap, tunggu untuk dibincang

MoU peruntukan pembangkang sudah siap, tunggu untuk dibincang

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUAlA LUMPUR: Draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sudah siap dan terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk membincangkannya dengan pihak berkaitan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpa­duan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana peranan tersebut telah diputuskan untuk diberi kepada Fadillah dan pembangkang hanya perlu menunggu untuk dipanggil berbincang perkara tersebut.

“Draf MoU sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan sudah siap. Saya rasa kita perlu tunggu TPM untuk selesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri sebelum ini pada dasarnya bersetuju untuk mengagihkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, menyaksikan draf MoU dirangka terlebih dahulu.

Fokus MoU itu dikhususkan kepada persefahaman menggerakkan pembangunan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, pihaknya masih merangka draf MoU terbabit untuk diserahkan kepada pembangkang secepat mungkin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, beliau bersetuju dengan formula yang digunakan sewaktu UMNO menjadi kerajaan yang menyaksikan RM100,000 setahun diperuntukkan untuk kawasan bagi kos operasi dan pengurusan.

“Dulu waktu kita jadi pembangkang pun kita hanya diberi peruntukan untuk pengurusan dan saya rasa kita boleh guna formula yang sama, kerana dari segi pembangunan, kita jangan jadikan rakyat sebagai mangsa.

“Sebaliknya, rakyat perlu diberikan peruntukan pembangunan melalui agensi kerajaan yang pelbagai. Contohnya nak baiki jalan, kita gunakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan jika mahu baiki sekolah pula, terletak di bawah peranan Kementerian Pendidikan.

“Maknanya prinsip UMNO jelas, jangan memangsakan rakyat hanya kerana ahli Parlimen itu dipilih daripada pembangkang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN