MCMC sedia turunkan akaun media sosial cetus kebencian kepada pemain bola sepak - Utusan Malaysia

MCMC sedia turunkan akaun media sosial cetus kebencian kepada pemain bola sepak

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) belum menerima apa-apa aduan rasmi berhubung kewujudan akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC bersedia mengambil tindakan teknikal termasuk memperincikan siasatan pemilik akaun berkenaan atau menutup akaun media sosial itu jika ada aduan rasmi dikemukakan.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima apa-apa aduan rasmi mengenai perkara itu sama ada daripada mana-mana pihak atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tidak menerima setakat ini laporan daripada MCMC berkaitan apa-apa aduan mengenai akaun media sosial itu.

“MCMC juga akan bekerjasama rapat dengan PDRM dan badan penguatkuasaan lain jika ada sebarang permohonan dan permintaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kewujudkan akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

Menurutnya, pihak polis dilaporkan sedang mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan.

Akaun media sosial itu diwujudkan susulan kes serangan yang melibatkan dua pemain bola sepak iaitu Faisal Halim dan Akhyar Rashid dan terbaharu melibatkan seorang lagi pemain bola sepak tempatan iaitu Safiq Rahim.

Dalam perkembangan sama, Fahmi turut mengingatkan warganet supaya berpada-pada dalam menyatakan sokongan bagi mengelak wujud bibit-bibit kebenciaan seperti berlaku sekarang.

“Jangan melakukan perkara diluar batas undang undang. Kita nak tengok perlawanaan yang bagus dan tak nak insiden tidak diingini berlaku termasuklah kepada para pemain bola sepak.

“Saya minta warganet supaya bersederhanalah dan jangan keterlaluan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tonggak Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid di Kota Damansara pada Ahad lalu, manakala pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang pada 5 Mei lalu.

Terbaharu, Safiq mendedahkan cermin kereta miliknya dipecahkan individu tidak dikenali dalam kejadian di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru malam semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN