SEREMBAN: Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan mendapatkan cadangan daripada pihak konsultan berhubung kerja-kerja pembaikan yang perlu dilakukan pemaju susulan kejadian hakisan dan tanah mendap yang berlaku membabitkan kawasan perumahan di Vila Bukit Negeri, Senawang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, tempoh selewat-lewatnya sehingga 27 Mei ini diberikan kepada pihak konsultan untuk memberikan cadangan itu kerana tindakan segera pembaikan perlu dilakukan.
“Isu penting di lokasi terjejas ini adalah daripada segi mampatan tanah. Kita bagi tempoh selewat-lewatnya Isnin ini untuk konsultan memajukan cadangan kerja-kerja pembaikan tersebut kerana jika lewat dikhuatiri pergerakan tanah akan menjadi lebih teruk ditambah dengan musim hujan kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemebrita selepas melawat rumah-rumah penduduk yang terjejas di Vila Bukit Negeri, Senawang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain dan Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penduduk di kawasan perumahan Vila Bukit Negeri, Senawang bimbang dengan masalah hakisan dan mendapan tanah di belakang rumah mereka yang turut dipercayai menjadi punca kepada masalah keretakan dinding rumah.
Menurut penduduk, masalah tersebut membabitkan lapan buah rumah dan mula dikesan sejak seminggu lalu.
Arul Kumar sementara itu berkata, daripada lapan buah rumah penduduk yang terjejas iaitu di Jalan Vila Bukit Negeri 2, ada diantaranya telah melakukan pengubahsuaian di bahagian belakang rumah.
“Untuk penduduk yang membuat pengubahsuaian rumah, memang diminta untuk merobohkan semula bagi membolehkan pemaju membuat penilaian.
“Daripada segi keselamatan penduduk sama ada selamat atau tidak menduduki bangunan kediaman pula, bangunan asal masih selamat diduduki dan hanya bahagian rumah yang diubah suai sahaja tidak selamat kerana tanah yang ditambak ini bukan tujuan menampung berat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Arul Kumar juga menasihatkan kepada semua penduduk yang ingin melakukan pengubahsuaian rumah, perlulah mendapat kelulusan dari pihak MBS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.
“PBT mempunyai syarat-syarat yang perlu diikuti oleh penduduk sekiranya melakukan ubah suai rumah. Jadi kebenaran itu perlu dimohon supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, Kamarol Ridzuan berkata, penyelesaian segera perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian mendapan tanah tersebut berlaku.
“Jika tidak mengenal pasti punca kejadian, dikhuatiri situasi sama akan berlaku lagi dan akan terus menjejaskan penduduk. Perlu juga ada pakar tanah dalam mengkaji semua aspek di lokasi terjejas ini,” katanya.-UTUSAN.










