Malaysia terlalu jauh ketinggalan dalam AI

Malaysia terlalu jauh ketinggalan dalam AI

MALAYSIA disifatkan sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang memberi peruntukan besar dalam mengembangkan AI di negara masing-masing sejak dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menerap dan mempelopori bidang kecerdasan buatan (AI) di peringkat sekolah rendah dilihat sukar, antaranya disebabkan masih banyak kawasan di luar bandar tiada capaian internet.

Malaysia juga disifatkan sudah jauh ketinggalan berban­ding negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah yang memberi peruntukan besar dalam mengembangkan AI di negara masing-masing sejak dua tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Seksyen Keselamatan Siber, Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, bagi menyusuri negara-negara maju mengembangkan AI, kerajaan perlu melabur lebih banyak dalam mempertingkatkan penggunaan sistem awan (cloud) dan memori Nvidia.

“Untuk penggunaan biasa AI, capaian internet di Malaysia masih memadai. Tetapi untuk pembangunan dan penciptaan algoritma AI atau GPT, Malaysia masih jauh ketinggalan.

“Sudah tentu hasrat kerajaan yang baru berkira-kira mahu me­nerap silibus AI terus menyebabkan Malaysia di belakang,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, AI akan diperkenalkan di peringkat sekolah rendah.

Menurut Fadhlina, Kurikulum Persekolahan 2027 menjadikan Fasih Digital sebagai satu daripada tujuh kompetensi yang perlu dikuasai oleh murid.

Katanya, murid fasih digital berkemampuan untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah serta mencipta sesuatu yang baharu dengan menggunakan konsep pemikiran komputasional.

Antara pengetahuan dan kemahiran digital yang akan diterapkan dalam kurikulum baharu ini ialah yang berkaitan dengan AI.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, adalah mustahil untuk bidang AI dilaksanakan di semua sekolah dalam tempah dua atau tiga tahun ini.

Katanya, bukan semua kawasan diliputi dengan rangkaian internet dan liputan talian komunikasi, oleh itu kerajaan sebenarnya perlu menyelesaikan dahulu kekurangan tersebut.

“Pihak KPM melalui kerjasama kerajaan dan swasta serta sumbangan ibu apa di sekolah ter­tentu, pasti boleh dilaksanakan,” katanya.

Mengulas mengenai ketersediaan guru dalam bidang AI, di setiap sekolah, jelas beliau, sememangnya ada guru yang sudah mempraktikkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran.

“Sesetengah guru telah pun menggunakan teknologi AI dalam pengajarannya terutama guru-guru muda yang kreatif.

“Jadi, untuk guru-guru menggunakan teknologi AI dalam pembelajaran sememangnya tiada masalah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN