SEREMBAN: Pasukan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) optimis dapat memperbaiki prestasi musim lalu dengan menyasarkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.
Pengerusi NSFC, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, ia berdasarkan kualiti pemain dan sokongan kewangan yang lebih baik kali ini berbanding musim lalu.
“Saya amat berharap dengan pasukan yang bakal bersaing tidak lama lagi, di atas kertas nampak lebih mantap dengan gandingan pemain baharu dan lama, kalau boleh dapat di tempat keempat seperti pernah sebelum ini, tiada yang mustahil, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pemain NSFC Musim 2024/2025 di Nilai di sini hari ini.
Menyedari kepentingan mempunyai sumber kewangan yang kukuh, Tunku Syed Razman dalam pada itu mengakui, terdapat beberapa penaja baharu yang telah tampil bersama NSFC.
Ia sekali gus beliau berharap isu masalah pembayaran gaji pemain yang menimpa pasukan pada musim lalu tidak lagi berulang.
“Nampaknya lebih baik berbanding musim lalu, namun pada masa yang sama kami ada bercakap dengan beberapa syarikat lain bagi kami menambah dana supaya apa yang berlaku musim lalu tidak berulang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, mengambil kira situasi semasa, Tunku Syed Razman yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) turut menasihatkan para pemain NSFC untuk sentiasa berhati-hati.
“Saya nasihatkan pemain untuk lebih berhati-hati, NSFC juga mengambil langkah keselamatan tetap diambil sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika bermain di tempat lawan,” katanya.
NSFC pada musim ini melakukan perubahan dalam pasukan dengan melantik Azzmi Ab Aziz sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu.
Beberapa pemain utama musim lalu juga dikekalkan termasuk ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan dan Che Rashid Che Halim selain membawa beberapa pemain baharu seperti Muhammad Hadin Azman dan penjaga gol yang dipinjamkan dari Selangor FC, Syahmi Adib Haikal Mohd. Shukri.
Selain itu juga, bagi menambah kualiti dalam pasukan, NSFC juga turut membawa masuk pemain import baharu seperti, Mika Junco dari Sepanyol yang beraksi di posisi serangan, Takumi Sasaki dari Jepun (tengah) dan Aliyu Abubakr dari Nigeria (pertahanan).-UTUSAN.










